Kerajaan peruntuk lebih RM200 juta untuk sambungan ECRL ke Rantau Panjang

Kerajaan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi melaksanakan kerja-kerja awalan cadangan pemanjangan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan.
Kerajaan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi melaksanakan kerja-kerja awalan cadangan pemanjangan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi melaksanakan kerja-kerja awalan cadangan pemanjangan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, peruntukan itu merangkumi RM30 juta bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu manakala selebihnya, iaitu lebih RM200 juta bagi kerja-kerja awalan cadangan pemanjangan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.

"Fasa awal pemanjangan jajaran ECRL ini meliputi kerja-kerja reka bentuk awal, ukur dan penyiasatan tanah, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), penyediaan Skim Kereta Api serta kerja-kerja penyediaan tapak bagi membolehkan projek dilaksanakan pada fasa seterusnya," katanya.

MoF menjelaskan pelaburan tersebut bukan sekadar membina infrastruktur pengangkutan, tetapi membuka laluan kepada masa depan ekonomi Kelantan yang lebih berdaya saing, termasuk merancakkan aktiviti perniagaan, memperkukuh sektor logistik, menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

"Kerajaan percaya bahawa pembangunan negara mesti bersifat terangkum dan seimbang. Kemajuan tidak seharusnya tertumpu di bandar-bandar utama semata-mata, sebaliknya perlu dirasai oleh rakyat di seluruh negara, termasuk di Kelantan," jelas kementerian itu.

Perkhidmatan ECRL yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijadualkan memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember ini.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu melibatkan 20 stesen merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, dengan perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak dianggarkan mengambil masa kira-kira empat jam.

Sementara itu, pembinaan terminal bas bersepadu di Stesen ECRL Kota Bharu dirancang bagi menyediakan kemudahan pengangkutan pengantara kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan kereta api berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal sebelum ini memaklumkan, kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 2.02 hektar di Tunjong bagi pembangunan terminal yang terletak bersebelahan Stesen ECRL Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Terminal berkenaan akan menghubungkan perkhidmatan ECRL dengan pengangkutan awam lain termasuk bas ekspres, bas henti-henti, teksi dan perkhidmatan e-panggilan bagi memudahkan pergerakan penumpang ke destinasi masing-masing.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!