Beku perolehan ATM, PDRM: Isyarat tegas integriti perlu diutamakan

KEPUTUSAN kerajaan membekukan sementara semua perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan isu rasuah menunjukkan pendekatan tegas terhadap salah laku dalam sektor awam yang berprofil tinggi.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan dua isterinya berkaitan projek perolehan Tentera Darat selain menyita barangan bernilai RM11.4 juta hasil risikan di dua lokasi iaitu di sebuah rumah di Kuala Lumpur dan satu lagi di Besut, Terengganu.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua keputusan perolehan ATM dan PDRM yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Beliau berkata, kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.
Langkah itu bukan sahaja memastikan proses perolehan mematuhi peraturan sedia ada, tetapi juga menekankan kepentingan ketelusan dan integriti dalam pengurusan dana awam.
Kerajaan melalui kementerian berkaitan akan meneliti dan menyusun semula prosedur perolehan untuk menutup sebarang kelemahan sistemik.
Ini mencerminkan usaha dan tekad serius pihak berkuasa terhadap prinsip tadbir urus yang baik, sekaligus meyakinkan rakyat bahawa isu rasuah ditangani secara proaktif.
Dari perspektif ekonomi dan sosial, langkah ini membantu mengurangkan risiko kesan negatif terhadap keyakinan pelabur dan kepercayaan rakyat terhadap sistem kerajaan.
Bagaimanapun, kes itu menjadi peringatan penting bahawa institusi kritikal seperti ATM dan PDRM tidak terkecuali daripada pengawasan awam dan undang-undang.
Ia menekankan bahawa pengurusan kewangan dan perolehan awam mesti dijalankan dengan integriti tinggi, tanpa kompromi terhadap prosedur dan etika.
Langkah kerajaan membekukan sementara perolehan juga memberi isyarat jelas bahawa sebarang kelemahan dalam sistem tidak akan dibiarkan, malah tindakan pembetulan akan dilakukan secara menyeluruh.
Tentunya, ia bukan sahaja memperkukuh tadbir urus, tetapi turut mengukuhkan keyakinan rakyat bahawa isu rasuah ditangani secara serius, telus dan berkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

