Pembekuan sementara perolehan: ATM dijangka berjumpa PM dalam masa terdekat

A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat berkaitan isu pembekuan sementara perolehan membabitkan pasukan keselamatan terbabit.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, permohonan bagi pelepasan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

“Saya difahamkan dan telah menerima makluman daripada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta ketua setiausaha kementerian bahawa perkara ini berada di peringkat akhir.

“Insya-ALLAH, dalam seminggu ini kita akan bentangkan. Kita akan merayu kepada Perdana Menteri untuk sekurangnya 'releasekan' perbelanjaan operasi yang melibatkan tugas harian," katanya dalam sidang akhbar Majlis Sambutan Mula Tugas Panglima Angkatan Tentera Ke-24 di Wisma Pertahanan di sini pada Selasa.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Nurazlan Aris.

Mengulas lanjut, Malek Razak berkata, pihaknya yakin Anwar akan memberi pertimbangan sewajarnya sebaik justifikasi yang diperlukan dikemukakan, khususnya bagi komponen perbelanjaan operasi yang paling kritikal.

Tambahnya, dengan perhatian Perdana Menteri dan justifikasi yang dikemukakan diharap sekurang-kurangnya perolehan bagi perbelanjaan operasi akan dilepaskan.

Mengenai implikasi pembekuan itu, beliau berkata, sebarang penangguhan berpanjangan terhadap perbelanjaan operasi akan menjejaskan aktiviti ketenteraan yang sedang berjalan, walaupun pelan pembangunan masih boleh ditangguhkan dan ditangani pada peringkat seterusnya.

"Perbelanjaan operasi meliputi keperluan harian seperti makanan anggota, bahan api, pergerakan anggota dan pengangkutan. Kelewatan berterusan boleh menjejaskan tahap kesiapsiagaan keseluruhan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kesiapsiagaan tentera akan menurun jika perbelanjaan operasi terus dibekukan.

Mengenai skala dana terlibat Malek Razak berkata, perbelanjaan operasi dianggarkan sekitar RM2 bilion bagi tentera darat, dengan kira-kira RM1.5 bilion masing-masing untuk tentera laut dan tentera udara.

Pada 16 Januari lalu Anwar dilaporkan berkata, semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Kata Anwar, kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

Ringkasan AI

  • Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka bertemu Perdana Menteri berkaitan isu pembekuan sementara perolehan
  • Panglima ATM akan kemukakan permohonan pelepasan kepada Perdana Menteri
  • Permohonan bertujuan merayu pelepasan perbelanjaan operasi yang melibatkan tugas harian
  • Pembekuan perbelanjaan operasi boleh menjejaskan tahap kesiapsiagaan keseluruhan ATM
  • Perbelanjaan operasi ATM dianggarkan sekitar RM2 bilion bagi tentera darat dan RM1.5 bilion masing-masing untuk tentera laut dan tentera udara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!