Sistem perolehan pertahanan perlu audit bebas

Audit bebas perolehan secara menyeluruh mesti dijadikan dasar kekal supaya keselamatan negara diurus dengan amanah.
Audit bebas perolehan secara menyeluruh mesti dijadikan dasar kekal supaya keselamatan negara diurus dengan amanah.
A
A
A

TINDAKAN tegas kerajaan membekukan sementara keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkait rasuah dibuat tepat pada masanya untuk membersihkan semula imej pasukan keselamatan negara yang kini teruk terjejas gara-gara isu integriti.

Apabila kerajaan akhirnya menarik brek kecemasan, ramai melihatnya sebagai peluang terbaik menutup segala kelompangan yang wujud dalam sistem perolehan dan tender pasukan keselamatan negara hingga rasuah boleh bersarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu berkata, semua keputusan perolehan ATM dan PDRM yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Kerajaan melalui kementerian terlibat katanya akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

Keputusan itu hadir susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa kepada penahanan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) serta sitaan aset bernilai kira-kira RM11.4 juta, satu angka yang cukup membuat rakyat menghela nafas panjang.

Jumlah sitaan aset berkenaan bukan sekadar angka, tetapi lambang betapa longgarnya kawalan dalaman apabila perolehan bernilai strategik disyaki boleh dimanipulasi tanpa dikesan sehingga akhirnya kes meletup ke pengetahuan umum.

Menyedari impak buruk kes terbabit kepada imej ATM, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Ahad tampil memberi jaminan bahawa kerajaan akan memulihkan kepercayaan bangsa dan negara terhadap tentera.

Tiada siapa menafikan pengorbanan puluhan ribu anggota ATM dan PDRM yang berkhidmat dengan jujur serta ikhlas tetapi kes yang didakwa melibatkan ‘jerung’ atau pegawai peringkat tertinggi tersebut memberi kesan besar kepada imej institusi.

Masalah utama bukan terletak pada individu semata-mata sebaliknya pada sistem perolehan dan tender yang terlalu bergantung kepada kepercayaan dalaman tanpa semak serta imbang luaran yang berkesan.

Artikel Berkaitan:

Sebab itu, pembekuan perolehan tidak wajar berakhir sebagai langkah sementara kerana ia dilihat perlu dijadikan titik mula kepada reformasti atau pembaharuan struktur yang menyentuh punca kes sedemikian berlaku.

Antara pembaharuan paling kritikal ialah pelaksanaan audit bebas sepenuhnya terhadap perolehan pertahanan, kerana audit dalaman mungkin tidak mencukupi mengesan konflik kepentingan dan penyelewengan.

Audit bebas yang melapor kepada Parlimen mampu berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang tanpa menjejaskan rahsia operasi, sekali gus memulihkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan pengurusan keselamatan.

Jika audit bebas masih dianggap ancaman kepada keselamatan, persoalan sebenar ialah sama ada ketirisan lebih membahayakan negara berbanding pendedahan terkawal yang bertujuan membetulkan sistem.

Kerajaan juga perlu memecahkan kebergantungan kuasa kelulusan perolehan dan tender kepada kelompok kecil kerana kuasa yang diberikan tanpa pengawasan kadangkala boleh ‘menggelapkan mata’ mereka yang diberikan tanggungjawab tersebut.

Paling penting kerajaan juga perlu menghapuskan budaya melindungi kesalahan atas alasan untuk menjaga imej institusi kerana imej yang dibina atas penafian hanya akan runtuh lebih cepat apabila kebenaran akhirnya muncul.

Jika kerajaan benar-benar serius memulihkan imej ATM dan PDRM, audit bebas perolehan secara menyeluruh mesti dijadikan dasar kekal supaya keselamatan negara diurus dengan amanah.

*Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan Sinar Harian

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!