Covid-19: Kabinet tubuh jawatankuasa khas

Kenyataan dikeluarkan MITI hari ini.
Kenyataan dikeluarkan MITI hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Kabinet semalam bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet untuk merencanakan langkah strategik dalam melindungi prestasi ekonomi Malaysia serta pasaran pekerjaan tempatan susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet itu bertanggungjawab untuk mencari penyeimbangan antara pengukuhan segmen ekonomi negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang efektif.

Menurut kenyataan itu, fokus-fokus lain termasuklah perangkaan strategi menyokong prestasi enjin-enjin ekonomi Malaysia seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas sepanjang PKP serta mengurangkan kesan ke atas peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat.

Katanya, penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet itu juga menggambarkan tindak balas kerajaan yang responsif bagi menangani isu yang disampaikan rakyat dan komuniti perniagaan di Malaysia.

“Jawatankuasa khas ini dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ahli-ahli jawatankuasa khas ini turut terdiri daripada individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan keselamatan negara,” kata kenyataan itu.

Selain itu, MITI memaklumkan akan menjalankan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang segmen ekonomi yang tertentu.

“Ia penting bagi memastikan Jawatankuasa ini dapat memberi cadangan yang spesifik berkaitan komuniti perniagaan Malaysia terutamanya PKS, para pengilang dan pelabur.

Artikel Berkaitan:

“Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan bersidang pada Jumaat ini dan akan menjalankan mesyuarat keduanya pada Ahad,” katanya.

pMenurutnya, Pada akhir mesyuarat, cadangan-cadangan hasil perbincangan Jawatankuasa ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perjumpaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC) pada 6 April.