Siasat saham milik Azam Baki, bukan Bloomberg - Nurul Izzah

SHAH ALAM – Polis digesa menumpukan siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bukannya kepada proses penerbitan laporan oleh agensi Bloomberg.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, fokus siasatan seharusnya terarah kepada kandungan dakwaan terbabit agar segala persoalan dapat dijawab secara telus dan meyakinkan rakyat.
"Jika ada dakwaan, siasat dakwaan. Jangan tumpu kepada proses penerbitannya. Kita hendak dan rakyat hendak intipati dakwaan itu disiasat, bukan hanya bagaimana laporan diterbitkan.
"Bak kata orang putih 'You don't want to shoot the messenger'. Kita mahu SPRM dan semua agensi dalam negara benar-benar menjadi benteng pertahanan kita semua," katanya menerusi satu hantaran video pada Jumaat.
Pada Sabtu lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel oleh Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.
Siasatan itu dijalankan di bawah peruntukan kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, iaitu memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Nurul Izzah menambah, pendekatan terbabit amat penting bagi mengekalkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap sistem tadbir urus serta institusi penguatkuasaan negara.
Menurutnya, Malaysia telah mencapai banyak kemajuan dalam mengukuhkan ekonomi dan menarik pelabur, sekali gus inilah saat penting untuk memperkukuh lagi langkah-langkah tadbir urus.
Mengulas isu penggantungan, beliau berkata, persoalan utama ketika ini adalah memastikan siasatan berjalan secara adil dan tidak dilakukan secara sembrono terhadap mana-mana pihak.
“Kita tidak mahu usaha terhenti hanya kepada merawat tanpa usaha untuk mencegah. Kalau pengadil bola pun ada referee assessor, takkanlah badan besar seperti SPRM tak ada pemantauan yang ada kuasa audit luaran,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Polis digesa fokus siasatan pada dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
- Nurul Izzah Anwar menekankan siasatan haruslah terarah kepada dakwaan bukannya proses penerbitan laporan
- Adanya desakan agar siasatan membuka segala persoalan secara telus untuk meyakinkan rakyat
- Siasatan oleh polis terhadap Bloomberg dilakukan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
- Kemajuan ekonomi Malaysia menekankan kepentingan tadbir urus yang baik untuk mengekalkan keyakinan rakyat dan pelabur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

