DAP akan putuskan kekal atau letak jawatan kerajaan Julai depan

PUTRAJAYA – Keputusan sama ada pemimpin DAP perlu meletakkan jawatan dalam kerajaan akan diputuskan pada kongres khas parti yang dijadual berlangsung pada 12 Julai depan.
Akhbar The Star yang memetik laporan temu bual Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bersama Sin Chew Daily melaporkan, lebih 4,000 perwakilan pusat dijangka mengundi usul berkenaan.
Ini kali pertama keputusan politik sebesar itu dirujuk kepada badan pembuat keputusan tertinggi parti dan bukannya ditentukan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Kongres berkenaan akan memutuskan sama ada pemimpin DAP perlu melepaskan jawatan sebagai menteri, timbalan menteri, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, ahli majlis pihak berkuasa tempatan serta ahli syarikat berkaitan kerajaan, atau mengekalkan kedudukan sedia ada.
DAP yang telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan selama tiga tahun menerima penilaian bercampur daripada masyarakat.
Parti itu mengalami kemerosotan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada November lalu, sekali gus mendorong tempoh pembaharuan selama enam bulan serta penilaian semula peranannya dalam gabungan pemerintah.
Anthony menyifatkan pertemuan itu sebagai satu referendum dalaman dan menegaskan bahawa walaupun perwakilan mengundi supaya peletakan jawatan dilakukan, 40 Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Kami mempunyai 40 ahli Parlimen yang akan memastikan kestabilan kerajaan. Sama ada kami terus berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri atau meletak jawatan daripada semua jawatan termasuk dalam majlis tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan, perkara itu akan diputuskan oleh perwakilan,” katanya .
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

