Anwar mahu RUU hadkan tempoh Perdana Menteri diluluskan segera di Parlimen

KUALA LANGAT - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun disegerakan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.
Beliau berkata, tempoh sedekad adalah mencukupi untuk seorang Perdana Menteri melaksanakan agenda pembaharuan dan dasar utama negara, sebelum memberi ruang kepada kepimpinan baharu meneruskan khidmat.
"Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun tu cukuplah, memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia untuk melepaskan untuk rakan-rakan lain meneruskan khidmat…dan kalau ada konsensus majoriti Ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting di sini hari ini.
Anwar berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan terpakai bermula dengan diri beliau terlebih dahulu.
"Ya, dia bermula daripada sayalah. Maknanya, jangan saya buat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” katanya.
Ramai pihak berpandangan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal ini dilihat sebagai antara agenda reformasi institusi bagi memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini dilaporkan berkata RUU pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin depan. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun disegerakan dan diluluskan
- Tempoh sedekad dianggap mencukupi untuk seorang Perdana Menteri melaksanakan agenda pembaharuan dan dasar utama negara
- Anwar menyatakan cadangan ini bermula dengan diri beliau sendiri untuk menunjukkan kesungguhan
- Cadangan ini dilihat sebagai agenda reformasi institusi untuk memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus negara
- RUU ini akan dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Isnin depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
