'Siasat aduan melibatkan pegawai awam ikut undang-undang' - Anwar

PUTRAJAYA - Sebarang aduan terhadap mana-mana pegawai awam mestilah disiasat dengan teliti mengikut lunas undang-undang, bukannya dibuat berasaskan persepsi atau dorongan politik.
Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan yang dijalankan juga tidak boleh dilaksanakan secara tergopoh-gopoh.
“Orang yang berkorban puluhan tahun dalam semua agensi, kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya ataupun kesalahannya besar, itu ikut proses undang-undang. Sama seperti mana yang dibicarakan sekarang dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau bukan daripada kelompok kita ataupun kita berdendam kerana orang itu telah mengambil tindakan terhadap kelompok-kelompok yang dikaitkan dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Awal bulan ini, Bloomberg mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Nilai pegangan tersebut dianggarkan hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada 9 Februari lalu.
Azam, 62, bagaimanapun menafikan segala tuduhan tersebut.
Sehubungan itu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, bagi menjalankan siasatan terhadap isu pemilikan saham Azam sebelum hasil siasatan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan pasukan tatatertib.
Ringkasan AI
- Aduan terhadap pegawai awam mesti disiasat mengikut undang-undang bukan persepsi atau politik
- Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan siasatan tidak boleh tergopoh-gopoh
- Siasatan melibatkan pegawai berpengalaman harus mengikuti proses undang-undang
- Ketua Pesuruhjaya SPRM dituduh memiliki saham bernilai hampir RM800,000
- Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan untuk soal siasat isu pemilikan saham
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

