Azam Baki fail saman fitnah ke atas Bloomberg

KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memfailkan saman fitnah terhadap agensi berita Bloomberg berhubung penerbitan artikel yang didakwa tidak berasas.
Azam sebagai plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Zain Megat & Murad di Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur pada Jumaat dan menamakan Bloomberg LP dan Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd sebagai defendan.
Tetuan Zain Megat & Murad memaklumkan, tindakan sivil itu berhubung penerbitan artikel yang didakwa berunsurkan fitnah terhadap anak guamnya.
"Menerusi saman ini, anak guam kami menuntut ganti rugi yang sewajarnya serta perintah injuksi kekal.
"Anak guam kami menegaskan bahawa segala dakwaan itu adalah tidak berasas dan telah memulakan proses perundangan ini bagi mempertahankan reputasinya," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut kenyataan itu, pihaknya meminta semua pihak menghormati proses kehakiman yang sedang berjalankan memandangkan perkara tersebut telah difailkan secara rasmi di mahkamah.
Sebelum ini, media melaporkan Azam menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta atas dakwaan laporan disiarkan Bloomberg menjejaskan reputasi dan kedudukannya secara profesional.
Firma guaman mewakili Azam itu telah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg susulan laporan yang disifatkan berunsur fitnah berkait dakwaan beliau memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Agensi berita Bloomberg dalam laporannya mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Ringkasan AI
- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg
- Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur
- Tuntutan melibatkan artikel yang didakwa memfitnah Azam Baki
- Azam menuntut ganti rugi dan injuksi kekal
- Azam menegaskan dakwaan terhadapnya adalah tidak berasas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
