Wajib letak tanda harga, jangan jual barang dengan harga tidak munasabah - KPDN

Mohd Sabri (dua dari kiri) melaksanakan pemantauan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mohd Sabri (dua dari kiri) melaksanakan pemantauan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mewajibkan tanda harga jelas serta tidak menjual barangan dengan harga yang tidak munasabah antara perkara yang difokuskan menerusi Op Pantau sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, Op Pantau melibatkan pemantauan ke atas premis peruncit, pasar tani, pasar raya, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri termasuk platform penjualan dalam talian.

Menurutnya, pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara berfokus, lebih kerap dan bersasar bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan peniaga.

"Sepanjang tempoh tersebut, seramai 99 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur ditempatkan di semua lokasi terlibat.

"Melalui penguatkuasaan Op Pantau, peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga dengan jelas pada setiap barangan jualan, tidak menjual barangan pada harga yang tidak munasabah serta menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan.

"Selain itu, perlu dipastikan label pembungkusan jelas, memaparkan terma dan syarat pembelian, mengeluarkan resit kepada pembeli, tidak menjual barangan cetak rompak atau tiruan serta menggunakan perbahasan atau perakuan Halal mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Tasik Permaisuri di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad.

Tambah Mohd Sabri, pihaknya komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif Rahmah melalui pendekatan penguatkuasaan berhemah, pemantauan berterusan serta kerjasama strategik antara agensi bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil, berintegriti dan kondusif demi kesejahteraan pengguna dan peniaga.

Mengulas mengenai BRR, jelas beliau, BRR merupakan inisiatif KPDN yang diperkenalkan sejak tahun 2023 sebagai langkah membantu meringankan kos sara hidup rakyat sepanjang bulan Ramadan terutamanya di kawasan kumpulan sasar B40.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan BRR bertujuan untuk menyediakan Juadah Rahmah pada harga RM5 ke bawah, menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai melalui Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), melaksanakan inisiatif MySaveFood Ramadan di bawah konsep Ihsan Food Bank serta memperkukuh pematuhan melalui pelaksanaan Program PATUH di tapak bazar," ujarnya.

Katanya, bagi tahun 2026, pelaksanaan BRR di Kuala Lumpur melibatkan empat bazar utama iaitu Bazar Tasik Permaisuri, Bazar UTC Sentul, Bazar Raja Alang dan Bazar Seksyen Satu Wangsa Maju dengan penyertaan dari peniaga yang telah dikenal pasti di setiap lokasi.

"Inisiatif ini turut dilaksanakan melalui kerjasama dan libat urus bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," ujarnya.

Sebelum itu, dalam satu kenyataan di Facebook rasmi KPDN, kementerian itu memaklumkan Op Pantau dilaksanakan bermula 19 Februari sehingga 30 Mac.

Operasi itu memberi tumpuan kepada pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan utama rakyat pada musim perayaan.

Antara barangan dipantau termasuk gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barangan basah serta bahan membuat kuih-muih.

 

 

Ringkasan AI

  • Op Pantau dijalankan sepanjang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri untuk memastikan tanda harga jelas dan harga barangan berpatutan
  • Melibatkan pemantauan terhadap premis peruncit, pasar tani, pasar raya, bazar Ramadan, Aidilfitri dan platform penjualan dalam talian
  • Dilaksanakan secara berfokus dan kerap untuk memastikan pematuhan peniaga
  • Seramai 99 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur ditempatkan di semua lokasi terlibat
  • Inisiatif Bazar Ramadan Rahmah diperkenalkan untuk membantu meringankan kos sara hidup, terutamanya bagi kumpulan sasar B40

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!