Dua rakan didakwa rogol, amang seksual remaja perempuan 14 tahun

Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Klang atas pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun.
Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Klang atas pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun.
A
A
A

KLANG - Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun, dua minggu lepas.

Muhammad Irfan Mohamad, 25, yang bekerja sebagai eksekutif jualan dan Ahmad Hamzi Alias, 25, penuntut sebuah institut pendidikan tinggi awam (IPTA) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali. 

Mengikut pertuduhan, Muhammad Irfan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah bilik di rumah sewa di Puncak Alam pada 3 petang, 6 Februari lepas. 

Ahmad Hamzi pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama, di lokasi yang sama pada 5.30 pagi, 7 Februari. 

Kedua-dua tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nuruliannah Aimi memohon supaya tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, beliau mencadangkan jumlah RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

"Ia termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi. 

Peguam Mohd Safwan Saleh yang mewakili Muhammad Irfan merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya baru sebulan bekerja dengan pendapatan RM2,400 dan perlu menanggung keluarga di Kelantan, selain akan memberi kerjasama menghadiri prosiding mahkamah. 

Peguam M Partiben yang mewakili Ahmad Hamzi pula memohon jumlah jaminan rendah kerana anak guamnya merupakan penuntut IPTA dan sedang menjalani latihan praktikal serta masih di bawah tanggungan keluarga daripada golongan B40. 

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Siti Aminah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dan RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 9 April depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Klang atas pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun
  • Muhammad Irfan Mohamad, 25, eksekutif jualan dan Ahmad Hamzi Alias, 25, penuntut IPTA, mengaku tidak bersalah
  • Muhammad Irfan didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 Februari dan Ahmad Hamzi pada 7 Februari di Puncak Alam
  • Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 untuk Muhammad Irfan dan RM7,000 untuk Ahmad Hamzi dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!