Mualaf warga emas hilang tempat berteduh

KUANTAN - Seorang lelaki mualaf warga emas hilang tempat berteduh selepas rumah sewa yang dihuni hampir 20 tahun musnah dalam kejadian kebakaran di Perkampungan Bukit Ubi, Jalan Dato Lim Hoe Lek di sini pada Khamis.
Kebakaran melibatkan dua rumah kayu kira-kira jam 11.30 malam itu berlaku ketika mangsa, Iskandar Quek Meng Cheng, 63, berada di tempat kerja di sebuah pasar raya berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, sebuah lagi rumah yang turut musnah dalam kebakaran itu dipercayai kosong tanpa penghuni.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal, kejadian itu disedari salah seorang jiran setelah terdengar bunyi letupan.
"Lelaki itu mendakwa bergegas keluar untuk melihat kejadian berlaku sebelum mendapati rumah disewa mangsa terbakar lalu menghubungi talian Mers 999 untuk bantuan," katanya.
Ashari berkata, melalui temu bual pihaknya dengan mangsa, warga emas yang masih bujang itu mendakwa tinggal seorang diri di rumah yang disewa sudah hampir 20 tahun.
"Selapas dimaklumkan berhubung kebakaran rumahnya, mangsa bergegas pulang namun kediaman tersebut gagal diselamatkan apabila ia musnah sepenuhnya.
"Rumah berstruktur kayu dan faktor angin kuat menyebabkan api marak dengan begitu cepat hingga memusnahkan kedua-dua rumah tersebut," katanya.
Beliau berkata, anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.
"Mangsa yang terlibat dalam kebakaran telah dibantu jiran tetangga dan menumpang di surau berdekatan buat sementara waktu," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 11.40 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan ke lokasi untuk operasi pemadaman dibantu anggota dan jentera dari BBP Indera Mahkota.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki mualaf warga emas kehilangan rumahnya dalam kebakaran di Perkampungan Bukit Ubi
- Kebakaran berlaku ketika mangsa sedang berada di tempat kerja
- Satu lagi rumah yang terbakar dipercayai kosong
- Jiran mendengar bunyi letupan sebelum menyedari kebakaran dan menghubungi bantuan
- Mangsa kini menumpang di surau berdekatan sementara waktu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

