Kudung kaki akibat mercun, penjual giat dikesan polis

JOHOR BAHRU - Usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan penjual mercun yang menjual item berkenaan hingga menyebabkan seorang lelaki terputus kaki kiri akibat letupan di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, Segamat pada malam Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati mercun yang dibakar mangsa berusia 32 tahun itu adalah dalam kategori tidak diluluskan penjualannya.
“Berdasarkan siasatan awal, mercun itu dipercayai dibeli, dibakar dan dimiliki secara tidak sah pada masa kejadian tersebut.
“Justeru, kita sedang mengenal pasti penjual mercun itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Ab Rahaman menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Lapor Diri Timbalan Ketua Polis Johor serta Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Jumaat.
Pada majlis itu, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor manakala Senior Asisten Komisioner Mohd Zairi Badderul@Badrol pula dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor yang baharu.
Mengulas lanjut, Ab Rahaman mengingatkan peniaga memastikan aspek pengimportan, penjualan, penyimpanan dan permainan mercun serta bunga api mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Menerusi Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025, sebanyak 45 jenis bunga api yang dibenarkan untuk pemilikan serta pengimportan oleh Menteri.
“Justeru, peniaga berlesen yang didapati menjual bahan yang tidak disenaraikan boleh dibatalkan lesen penjualan bahan berkenaan,” tegasnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 malam itu mangsa dipercayai sedang bermain bunga api jenis ‘shoot cake 4(D) 16 shot (premium)’ di hadapan rumahnya sempena Tahun Baharu Cina pada malam Selasa.
Menurut beliau, akibat letupan itu mangsa cedera parah sehingga kudung kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Segamat untuk menerima rawatan.
"Mangsa kini masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Melaka dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.
Ringkasan AI
- Usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan penjual mercun yang menyebabkan lelaki terputus kaki kiri di Segamat pada Tahun Baharu Cina
- Mercun dibakar oleh mangsa adalah tidak diluluskan penjualannya
- Mercun itu dipercayai dibeli, dibakar, dan dimiliki secara tidak sah
- Ab Rahaman mengingatkan peniaga mengikut peruntukan undang-undang berkaitan mercun
- Kes disiasat mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

