Rayuan Jovian Mandagie ketepikan perintah kebankrapan ditolak

Jovian Mandagie diisytihar muflis kerana gagal membayar pinjaman persahabatan daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan berjumlah RM5.28 juta.
Jovian Mandagie diisytihar muflis kerana gagal membayar pinjaman persahabatan daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan berjumlah RM5.28 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menolak rayuan pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie untuk mengetepikan perintah kebankrapan terhadapnya selepas gagal melunaskan pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta termasuk faedah kepada syarikat pembinaan kejuruteraan Cekap Air Sdn Bhd.

Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili Cekap Air berkata, mahkamah turut menolak pemohonan Jovian untuk menggantung perintah kebankrapan berkenaan.

"Mahkamah menolak rayuan bagi mengetepikan petisyen pemiutang dan untuk menggantung perintah kebankrapan dengan kos berjumlah RM10,000," katanya kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Hakim Jamhirah Ali.

Pada 3 Julai tahun lepas, Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli mengeluarkan perintah kebankrapan selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat berkenaan pada 20 November 2024.

Sebelum itu, pada 21 Mei 2024, Cekap Air memfailkan notis kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diberikan mahkamah pada 2 April tahun sama.

Berdasarkan petisyen kebankrapan pemiutang, syarikat berkenaan memohon satu perintah kebankrapan terhadap Jovian selaku penghutang kerana gagal membayar RM5,284,340.66 juta termasuk faedah seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi.

Pada 2 April 2024, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin mengarahkan Jovian membayar pinjaman persahabatan terbabit selepas membenarkan permohonan Cekap Air selaku plaintif untuk memasukkan penghakiman terus terhadap pereka fesyen itu.

Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

Jovian disaman oleh Cekap Air pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan dan pengarah syarikat itu, Yong Zhen Wei ialah kenalan kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Cekap Air mendakwa syarikat itu telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan Jovian pada 25 Februari 2022 dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili pereka fesyen itu dan ia perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Plaintif mendakwa pinjaman itu diberikan dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan ialah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman terbabit dan hingga kini gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian. Jovian telah memfailkan pernyataan pembelaan pada 20 Jun 2023. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan Datuk Jovian Mandagie untuk mengetepikan perintah kebankrapan atas gagal bayar pinjaman RM5.28 juta
  • Jovian gagal melunaskan pinjaman persahabatan kepada syarikat Cekap Air Sdn Bhd
  • Perintah kebankrapan dikeluarkan selepas Jovian tidak mematuhi penghakiman mahkamah pada 2 April tahun sama
  • Jovian didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjam atas dasar pinjaman persahabatan
  • Cekap Air meminjamkan wang tersebut pada 25 Februari 2022 dengan syarat dibayar balik dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!