Bekas Presiden Korea Selatan dihukum penjara seumur hidup

SEOUL – Mahkamah Korea Selatan pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas Presiden, Yoon Suk Yeol selepas didapati bersalah mengetuai pemberontakan ketika beliau cuba meletakkan negara itu di bawah undang-undang tentera pada Disember 2024.
Hakim Ji Gwi-yeon di Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengetepikan permohonan pendakwa raya sebelum ini yang menuntut hukuman mati atas peranannya.
Gwi-yeon menjelaskan beliau mengambil kira faktor umur, sifar rekod jenayah dan ketiadaan kes keganasan peribadi melibatkan Suk Yeol.
"Bagaimanapun, bekas Presiden itu secara langsung memimpin dan merancang jenayah tersebut yang melibatkan ramai orang serta menimbulkan kos sosial yang besar.
"Beliau tidak menunjukkan rasa kesal atau memohon maaf," jelas Gwi-yeon lagi.
Bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun pula dikenakan hukuman penjara 30 tahun atas peranannya dalam krisis tersebut.
Tindakan Suk Yeol, 65, mengumumkan darurat tentera menerusi siaran TV dengan alasan mahu menyingkirkan ‘anasir antinegara’ dalam Perhimpunan Kebangsaan akhirnya memakan dirinya sendiri.
Keputusan melulu itu membawa kepada langkah pemecatan, penahanan serta pelbagai pertuduhan jenayah termasuk menghalang keadilan dikenakan terhadapnya.
Di luar pekarangan mahkamah, kumpulan penyokong Suk Yeol turut berhimpun dan melaungkan slogan menuntut pertuduhan ke atasnya ditarik balik.
Pada bulan lalu, isterinya, Kim Keon Hee juga dihukum penjara 20 bulan atas kes rasuah. - AFP
Ringkasan AI
- Mahkamah Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada bekas Presiden Yoon Suk Yeol atas tuduhan memimpin pemberontakan
- Hakim Ji Gwi-yeon menolak permohonan hukuman mati dengan mempertimbangkan faktor umur Suk Yeol, tiada rekod jenayah sebelumnya dan ketiadaan kes keganasan peribadi
- Yoon Suk Yeol dituduh memimpin dan merancang jenayah yang melibatkan ramai orang dan menimbulkan kos sosial yang besar tanpa menunjukkan penyesalan
- Bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun dihukum penjara 30 tahun atas peranannya dalam krisis
- Tindakan Yoon Suk Yeol mengumumkan darurat tentera dengan tujuan menyingkirkan 'anasir antinegara' berakhir dengan pemecatannya, penahanan, dan pertuduhan jenayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

