Bekas Presiden, Ketua Perisikan Korea Selatan ditahan berhubung siasatan undang-undang tentera

SEOUL - Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn dan bekas Ketua Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS), Cho Tae-yong ditahan pada Rabu berhubung cubaan bekas Presiden Yoon Suk Yeol untuk melaksanakan undang-undang tentera yang gagal, lapor agensi berita Yonhap.
Menurut laporan, Hwang yang pernah berkhidmat di bawah bekas Presiden Park Geun-hye membuat beberapa hantaran di Facebook selepas pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember tahun lepas menyeru agar 'pasukan pro-Korea Utara dan mereka yang terbabit dalam penipuan pilihan raya dihapuskan'.
Beliau juga menggesa penahanan Speaker Perhimpunan Kebangsaan, Woo Won-shik dan Ketua Parti Kuasa Rakyat ketika itu, Han Dong-hoon.
Pasukan pendakwa khas yang diketuai Cho Eun-suk yang ditugaskan menyiasat pelbagai dakwaan berkaitan cubaan pelaksanaan undang-undang tentera oleh Suk Yeol, melaksanakan waran tahanan terhadap Kyo-ahn di kediamannya di Daerah Yongsan, Seoul selepas beliau mengabaikan tiga kali arahan untuk hadir memberi keterangan.
Pasukan siasatan itu melancarkan siasatan terhadap Kyo-ahn selepas menerima aduan daripada sebuah portal berita tempatan dan beberapa kali mencuba untuk melaksanakan waran geledah di rumahnya.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Tae-yong selepas satu pendengaran pada Selasa dengan alasan terdapat kebimbangan bahawa bekas Pengarah NIS itu mungkin memusnahkan bahan bukti, menurut Yonhap.
Bekas ketua perisikan yang dikenali sebagai orang kepercayaan rapat bekas Presiden itu dituduh gagal melaporkan rancangan undang-undang tentera kepada Perhimpunan Kebangsaan, walaupun beliau sudah mengetahui mengenainya sebelum ucapan Suk Yeol disiarkan di televisyen.
Tae-yong turut dituduh tidak memaklumkan kepada Perhimpunan Kebangsaan selepas menerima laporan bahawa anggota tentera di bawah perintah undang-undang tentera merancang untuk menahan ketua pembangkang ketika itu, Lee Jae-myung dan ketua parti pemerintah Han Dong-hoon.
Akta NIS mewajibkan pengarahnya untuk melaporkan kepada Perhimpunan Kebangsaan dan juga kepada presiden sekiranya berlaku sebarang situasi yang memberi kesan besar terhadap keselamatan negara.- Bernama-Yonhap
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri Korea Selatan Hwang Kyo-ahn dan bekas Ketua Perkhidmatan Perisikan Negara Cho Tae-yong ditahan berhubung cubaan pelaksanaan undang-undang tentera gagal
- Kyo-ahn membuat beberapa hantaran di Facebook yang menyeru kepada penghapusan golongan pro-Korea Utara dan terbabit dalam penipuan pilihan raya
- Pasukan pendakwa khas melaksanakan waran tahanan terhadap Kyo-ahn setelah beliau mengabaikan tiga kali arahan untuk memberi keterangan
- Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengeluarkan waran tangkap terhadap Cho Tae-yong dengan alasan kebimbangan pemusnahan bahan bukti
- Tae-yong dituduh gagal melaporkan rancangan undang-undang tentera kepada Perhimpunan Kebangsaan dan tidak memaklumkan mengenai rencana penahanan ketua pembangkang dan ketua parti pemerintah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
