Isteri bekas Presiden Korea Selatan terima rasuah 'barang mewah'

SEOUL - Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee didakwa menerima rasuah dalam bentuk item mewah berjumlah lebih 377.25 juta won (RM1.1 juta) termasuk karya seni halus, barang kemas dan tas tangan.
Isteri kepada bekas Presiden dipecat, Yoon Suk Yeol itu juga didakwa campur tangan dalam hal ehwal negara.
Tuduhan itu dibuat pendakwa raya, Min Joong-ki pada Isnin ketika mengumumkan laporan siasatan tentang salah guna kuasa olehnya.
Penyiasat mendapati Keon Hee menerima beberapa barangan jenama termasuk dua beg tangan jenama Chanel dan rantai leher Graff daripada pemimpin Gereja Penyatuan yang terpalit pelbagai kontroversi sebelum ini.
Ketika disoal siasat sebelum ini, Suk Yeol menafikan beliau mengetahui tentang kesemua transaksi melibatkan isterinya.
Pada awal bulan lalu, pendakwa raya, Kim Hyung-geun menuntut hukuman penjara 15 tahun ke atas Keon Hee kerana tindakannya melangkaui undang-undang dan berpakat dengan Gereja Penyatuan untuk melemahkan 'pemisahan agama dan negara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan'.
Pasukan pendakwa raya juga meminta mahkamah mengenakan denda sebanyak 2 bilion won (RM5.7 juta) ke atasnya.
Sehingga kini, Keon Hee menafikan kesemua tuduhan dilemparkan ke atasnya dan menyifatkan ia sebagai 'dakwaan tidak adil' menerusi keterangan terakhirnya.
"Namun apabila saya memikirkan peranan saya dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya, jelaslah bahawa saya telah melakukan banyak kesilapan,” katanya.
Keon Hee ditahan pada Ogos lalu dan disiasat di bawah kes manipulasi saham dan menerima hadiah daripada Gereja Penyatuan yang merupakan sebuah pertubuhan kultus.
Mahkamah di Seoul dijadualkan menjatuhkan hukuman ke atasnya pada 28 Januari depan. - AFP
Ringkasan AI
- Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee didakwa menerima rasuah termasuk karya seni halus, barang kemas dan tas tangan berjumlah lebih 377.25 juta won
- Isteri kepada bekas Presiden dipecat, Yoon Suk Yeol itu juga dituduh campur tangan dalam hal ehwal negara
- Penyiasat mendapati Keon Hee menerima beberapa barangan jenama termasuk dua beg tangan jenama Chanel dan rantai leher Graff
- Pendakwa raya menuntut hukuman penjara 15 tahun ke atas Keon Hee dan denda sebanyak 2 bilion won
- Keon Hee ditahan dan disiasat di bawah kes manipulasi saham dan menerima hadiah daripada Gereja Penyatuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

