Bekas Presiden Korea Selatan dihukum penjara 5 tahun

Yoon Suk Yeol - AFP
Yoon Suk Yeol - AFP
A
A
A

SEOUL – Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dijatuhi hukuman lima tahun penjara pada Jumaat, berhubung beberapa tuduhan berkaitan pengumumannya mengenai undang-undang ketenteraan pada Disember 2024.

Keputusan mahkamah itu merupakan keputusan pertama terhadap Suk Yeol daripada lapan perbicaraan jenayah yang sedang dijalankan berikutan dekri kontroversinya itu, selain tuduhan lain termasuk menghalang pegawai daripada melaksanakan waran tangkap.

Walaupun hukuman lima tahun ini merangkumi tuduhan sekunder sahaja, tuduhan paling serius iaitu memimpin pemberontakan berkaitan undang-undang ketenteraan masih belum diputuskan.

Tuduhan tersebut berpotensi membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul menegaskan bahawa keputusan itu hanya merangkumi kesalahan seperti penentangan terhadap tindakan pihak berkuasa semasa percubaan penangkapannya.

Suk Yeol belum memberikan sebarang reaksi awam terhadap hukuman ini.

Sebelum ini, pihak pendakwaan khas menuntut penjara 10 tahun, namun pasukan pembela Suk Yeol mendakwa tuntutan itu bersifat politikal dan tidak berasas, malah terlalu 'berlebihan'.

Bekas Presiden itu telah ditahan dan disingkirkan daripada jawatan Presiden selepas cubaan pengenalan undang-undang ketenteraan yang hanya berlangsung beberapa jam mencetuskan protes awam besar-besaran menuntut pengunduran beliau.

Suk Yeol menegaskan bahawa niat beliau untuk tidak meletakkan negara di bawah pemerintahan tentera secara berpanjangan, sebaliknya dekri itu dibuat bagi memberi amaran kepada rakyat tentang halangan daripada Parlimen yang dikuasai pihak liberal terhadap agenda beliau.

Artikel Berkaitan:

Namun, pihak penyiasat menilai tindakan itu sebagai percubaan untuk mengekalkan dan melanjutkan kuasanya, lalu mendakwa beliau atas tuduhan pemberontakan, penyalahgunaan kuasa serta kesalahan jenayah lain.

Kes berkenaan telah menjadi titik perubahan besar dalam sejarah politik Korea Selatan, menandakan kali pertama seorang bekas Presiden di negara itu dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara berikutan pengumuman kontroversi yang menimbulkan krisis Perlembagaan.

Selain hukuman lima tahun ini, Suk Yeol masih menunggu keputusan terhadap tuduhan paling berat iaitu pemberontakan, yang dijangka akan didengar pada Februari ini dan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, bergantung kepada keputusan mahkamah.

Kes Yoon Suk Yeol memberi amaran tegas kepada pemimpin dunia bahawa sebarang percubaan melemahkan prinsip demokrasi atau melebihi had kuasa presiden boleh disabitkan dengan hukuman berat, walaupun beliau pernah memegang jawatan tertinggi di negara yang merupakan salah satu ekonomi terbesar di Asia. - Agensi

Ringkasan AI

  • Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dijatuhi hukuman lima tahun penjara berhubung tuduhan pengumuman undang-undang ketenteraan
  • Keputusan itu adalah salah satu daripada lapan perbicaraan jenayah yang sedang dijalankan terhadap Suk Yeol
  • Tuduhan paling serius yang memimpin pemberontakan berkaitan undang-undang ketenteraan masih belum diputuskan dan berpotensi membawa hukuman mati
  • Mahkamah menegaskan hukuman lima tahun hanya untuk kesalahan seperti penentangan terhadap tindakan pihak berkuasa, bukan tuduhan utama
  • Suk Yeol ditahan dan disingkirkan daripada jawatan Presiden setelah undang-undang ketenteraan yang diperkenalkannya mencetuskan protes awam besar-besaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!