Apa jadi dengan nasi kandar Yaseen?

A
A
A

MEMASUKI fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang semakin tertekan kerana kebebasan yang dinikmati selama ini telah disekat.

Maka ada pejuang hak asasi merungut hak kebebasan mereka telah dirampas. Jangan layan rungutan pejuang hak asasi seperti itu. Mereka hanya fikir hak mereka, macamlah orang lain tidak ada hak.

Pihak berkuasa khasnya polis dan tentera harus bertegas: siapa sahaja yang melanggar peraturan hendaklah dikenakan tindakan wajar.

Secara peribadi saya sendiri berasa amat tertekan – bosan gila-gila – setelah terkurung dalam rumah selama dua minggu, tidak tahu lagi apa hendak dibuat sepanjang 24 jam.

Biasanya selepas solat Subuh, vendor India surat khabar sudah datang menyelitkan surat khabar di pagar. Saya akan membaca akhbar sejam dua sebelum bersiap ke pejabat.

Sejak sekian lama sarapan pagi saya bukan kopi-o atau roti bakar, tetapi surat khabar. Sejak PKP dua minggu lalu, India surat khabar hanya tiba selepas jam 10. Rutin harian berubah betul.

Waktu paling membosankan ialah selepas tengah hari, semua surat khabar telah habis dibaca, termasuk iklan kecil, hatta notis kematian. Terkebil-kebil di bawah kipas sambil memandang siling. Bosan!

Menonton TV tidak lagi menarik. Sebab semua saluran berita bercakap mengenai Covid-19. Berulang-ulang benda serupa. Malah ulasan dan komen pakar pun sudah menjemukan.

Artikel Berkaitan:

Memerhatikan dari jendela suasana keliling sunyi sekali lebih-lebih lagi selepas tengah hari. Tiada kenderaan, tiada keriangan kanak-kanak. Hatta anjing pun tidak kelihatan, semua kena kurung.

Kalau ikutkan hati hendak sahaja saya menjerit sekuat hati, melepaskan rasa bosan yang meluap-luap. Kalau jadi Tarzan pun bagus juga waktu seperti ini.

Maka saya tidak terkejut dan marah apabila ada jiran mengetuk-getuk periuk dan dinding sambil marah-marah pada isteri dan anak-anak. Mereka pun pasti bosan seperti saya.

Apa pun saya masih boleh bersabar menghadapi PKP ini. Kalau ada apa-apa keperluan hendak dibeli, isteri saya yang ke kedai, saya diminta tidak keluar ke mana-mana takut dijangkiti virus maut yang setakat semalam telah meragut lebih 45 nyawa di Malaysia.

Sementara saya patuh dalam kebosanan, ramai pula yang melanggar peratutan dan bebas di luar sana.

Seperti yang dilaporkan media, beratus-ratus ditahan setiap hari kerana mengingkari perintah pihak berkuasa.Mereka yang melanggar PKP sengaja mencabar pihak berkuasa.

Ada yang berjoging sewaktu orang lain berkurung. Ada yang berkumpul main dam, malah ada yang berpesta bersukaria seperti hari-hari biasa.

Malah, seperti yang ditularkan ada pemandu yang memaki-hamun anggota polis dengan kata-kata kesat. Orang yang bodoh sombong seperti itu memang patut ditangkap.

Dengan PKP memasuki fasa kedua dan sesetengah kawasan diletakkan di bawah PKP Diperketat, saya harap pihak berkuasa khasnya polis dan tentera bertegas dan mengetatkan lagi penguatkuasaan.

Sekiranya masih ada pihak yang memperlekehkan pihak berkuasa ambil tindakan tegas tanpa mengira mereka anak Datuk, anak Tan Sri, selebriti, jutawan kosmetik atau kaki-kaki gedik yang lain.

Mereka harus diberi kefahaman bahawa kita dalam krisis dan kerjasama semua orang diperlukan untuk tinggal di rumah bagi memutuskan rangkaian virus Covid-19.

Kepada polis dan tentera juga petugas barisan hadapan – doktor, jururawat, petugas kesihatan – dan juga pemandu e-hailing yang menghantar makanan dan keperluan, seluruh rakyat terhutang budi kepada mereka.

Hatta kepada petugas media – wartawan, jurugambar, juruhebah, juruteknik – saya ucapkan syabas atas tugas murni mereka membekal dan menyebarkan penerangan kepada semua orang.

Saya hanya mampu berkurung dan menyumbang dari rumah.

Tetapi ada baiknya juga saya tinggal di rumah: sekurang-kurangnya selama dua minggu ini banyak juga yang saya tahu hal-hal rumah, termasuk di mana tempat simpan beras, di mana letaknya kukur kelapa, di mana pencuci tandas.

Harap-harap selepas fasa kedua PKP, saya boleh keluar dan menikmati nasi kandar Yaseen di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur!

*Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah