'Kalau benarkan, habislah tanah kerajaan' - MB Kelantan tegas rumah haram tak layak bantuan

Mohd Nassuruddin
Mohd Nassuruddin
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tidak boleh menyalurkan bantuan baik pulih rumah kepada penduduk yang membina kediaman di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran kerana bercanggah dengan undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri tidak boleh membenarkan pembinaan kediaman tanpa kelulusan kerana ia boleh menjejaskan pentadbiran dan kawalan tanah kerajaan.

Menurut beliau, penduduk perlu mempunyai hak milik atau kebenaran sah termasuk Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebelum pembinaan rumah boleh dibenarkan di atas tanah kerajaan.

“Rumah yang dibina di atas tanah rizab kerajaan tanpa kebenaran itu sebenarnya salah dari segi undang-undang.

“Selagi tidak ada pemilikan atau tidak ada kebenaran, kita tak boleh. Kalau kita benarkan, habislah tanah kerajaan ini. Dia mesti ada kebenaran sama ada TOL atau kebenaran lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (Nenggiri-Barisan Nasional) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri sukar mempertimbangkan bantuan kepada penduduk yang membina rumah secara tidak sah kerana ia bermakna membantu perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang.

“Kalau kami nak membantu orang yang melakukan kesalahan dari segi undang-undangnya memang tak bolehlah.

“Susah juga kami nak membenarkan perkara yang bercanggah ini, kalau yang berhormat nak bantu tu pandai-pandailah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohd Nassuruddin berkata, penduduk yang memerlukan tapak kediaman boleh berbincang dengan Pejabat Tanah dan Jajahan bagi mengenal pasti tanah kerajaan yang sesuai untuk dipertimbangkan kelulusannya.

Beliau memberi contoh kawasan Jeli dan Gua Musang yang masih mempunyai tanah kerajaan untuk dipertimbangkan sebagai tapak rumah kepada penduduk yang memerlukan.

“Kalau kawasan Jeli dan Gua Musang sebenarnya tanah kerajaan masih banyak.

“Jadi mungkin boleh berbincang dengan Pejabat Tanah, tengok tanah-tanah kerajaan yang boleh kita luluskan untuk tapak rumah, insya-ALLAH dipertimbangkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!