Kelantan negeri sempadan antarabangsa, usaha banteras dadah perlu kerjasama semua pihak

Mohamed Fadzli pada Sidang DUN Kelantan pada Ahad. Foto: Facebook Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
Mohamed Fadzli pada Sidang DUN Kelantan pada Ahad. Foto: Facebook Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
A
A
A

KOTA BHARU – Isu banteras dadah di Kelantan memerlukan kerjasama semua pihak kerana kedudukan negeri itu sebagai sempadan antarabangsa dan bukan meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan negeri semata-mata.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri, Persekutuan dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing.

“Di Kuala Lumpur anak-anak muda terlibat dengan disko, maka di sana penggunaan ekstasi tinggi, lain pula di Kelantan tapi kami sebagai kerajaan ambil tanggungjawab.

“Ini tanggungjawab semua, tambah pula Kelantan negeri sempadan, jangan ambil sikap untuk mencari kelemahan ataupun sengaja nak menonjolkan kelemahan saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (Barisan Nasional-Galas) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand menyebabkan negeri itu turut menerima kesan daripada pergerakan pelbagai kegiatan rentas sempadan.

“Antara masalah negeri sempadan ini, ada banyak benda baik yang bawa manfaat, begitu juga ada perkara tidak baik dan kita dapat dapat mudaratnya.

“Kadang-kadang dadah ini nak bawa ke tempat lain tetapi oleh sebab melalui negeri kita di sempadan, ditangkap di tempat kita, maka yang timbullah nama Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menggunakan pelbagai platform bagi memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk program Cakna Rakyat melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membantu menangani masalah dadah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas usaha pencegahan dadah menerusi program Desa Taqwa, Mohamed Fadzli berkata, sebanyak 101 Desa Taqwa diwujudkan secara berperingkat sejak diperkenalkan pada 1991 dengan 10 daripadanya dipilih sebagai projek perintis pemerkasaan semula.

“Jumlah 101 banyak, ada berjaya, ada yang kurang berjaya dan juga sudah tidak aktif pun.

“Jadi kami melihat mana-mana yang berpotensi, kami ambil hidupkan kembali,” ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!