NRW Kelantan masih tinggi, lebih 4,000 kilometer paip lama perlu diganti

KOTA BHARU – Kadar air tidak berhasil (NRW) di Kelantan masih tinggi iaitu 53 peratus meskipun kuantiti pengeluaran air terawat meningkat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kadar itu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding 55.2 peratus sebelum ini, namun masih belum mencapai sasaran 50 peratus yang ditetapkan bagi tahun ini.
Menurutnya, kebocoran paip bawah tanah terutama paip simen asbestos berusia lebih 40 tahun menjadi antara punca utama kehilangan air selain meter tersumbat dan kegiatan mencuri air.
“Meter tersumbat ini ada kaitan dengan kualiti air. Apabila meter tersumbat, air masuk ke rumah pengguna tetapi meter tidak bergerak dan secara automatik dikira sebagai NRW.
“Kuantiti air di loji sudah mencukupi, cuma bekalan yang sampai kepada rakyat masih berdepan kekangan. Sebab itu kami akan lebih memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan NRW,” katanya ketika menjawab soalan Nor Asilah Mohamed Zin (Pas-Limbongan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Ahad.
Izani berkata, dalam usaha mengurangkan kehilangan air, kerja penggantian paip lama dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan kawasan yang mencatatkan kadar NRW tinggi.
“Lebih 4,000 kilometer paip lama perlu diganti, manakala pelaksanaan penukaran paip ketika ini melibatkan kira-kira 150 kilometer setahun, agak lambat.
“Kami bagaimanapun akan memberi keutamaan kepada kawasan yang mencatatkan NRW tinggi bagi melaksanakan kerja pengesanan kebocoran dan penggantian paip,” kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Izani memberitahu, kuantiti pengeluaran air Kelantan menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dan kerajaan negeri berpuas hati dengan perkembangan berkenaan.
Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Machang, daripada kapasiti 45 juta liter sehari (JLH) kepada 70 JLH dengan kos RM11 juta.
“Projek yang mencapai kemajuan fizikal 94 peratus itu dijangka siap pada Januari tahun depan,” kata Izani.
Selain itu, pembinaan LRA Tok Bali berkapasiti 50 JLH dengan kos RM162.26 juta turut dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran air di kawasan berkenaan.
Izani berkata, apabila semua projek loji yang dirancang siap menjelang 2031, Kelantan dijangka mempunyai lebihan kapasiti air untuk disalurkan kepada rakyat.
“Apabila semua loji ini siap, kami akan mempunyai lebihan air dan dapat membekalkan lebih banyak air kepada rakyat.
“Bagaimanapun, usaha mengatasi NRW perlu berjalan seiring supaya peningkatan kuantiti air itu dapat dinikmati pengguna,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

