AKPS tumpaskan cubaan seludup hasilan ikan, haiwan dan pertanian RM1.03 juta

Rampasan dilakukan AKPS Pelabuhan Klang menerusi pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4.
Rampasan dilakukan AKPS Pelabuhan Klang menerusi pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Cubaan membawa masuk pelbagai hasilan ikan, pertanian dan haiwan bernilai lebih RM1 juta tanpa mematuhi peraturan kuarantin dibongkar menerusi rampasan tiga kontena di Pelabuhan Klang Barat pada Jumaat.

Rampasan dilakukan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang menerusi pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tiga kontena dikesan mengandungi barangan yang tidak mematuhi Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Beliau berkata, operasi pertama dijalankan kira-kira jam 10 pagi melibatkan rampasan satu kontena mengandungi hasilan haiwan iaitu daging babi sejuk beku yang diimport dari Belgium.

Antara yang dirampas menerusi pemeriksaan dijalankan.
Antara yang dirampas menerusi pemeriksaan dijalankan.

"Nilai rampasan dianggarkan RM486,658.17 dengan berat kira-kira 27,000 kilogram.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana tidak mematuhi syarat permit MAQIS,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, operasi kedua yang dijalankan pada jam 11.30 pagi hari yang sama melibatkan rampasan satu kontena mengandungi hasilan pertanian jenis pasir kucing (cat litter) yang diimport dari China.

Artikel Berkaitan:

"Nilai rampasan dianggarkan RM46,414.38 dengan berat kira-kira 28,001.60 kilogram.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) akta sama kerana tiada permit import MAQIS yang sah," katanya.

Menurutnya, operasi ketiga pada jam 12.30 tengah hari pula melibatkan rampasan satu kontena mengandungi hasilan ikan jenis isi ikan pangasius (pangasius fillet) yang diimport dari Vietnam.

"Nilai rampasan dianggarkan RM490,726.29 dengan berat kira-kira 24,920 kilogram.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 13 akta sama kerana menggunakan dokumen yang mengelirukan,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan nilai rampasan bagi ketiga-tiga kes dianggarkan RM1,031,798.84 dengan jumlah berat keseluruhan 79,921.60 kilogram.

Dalam pada itu, beliau menegaskan AKPS Pelabuhan Klang akan terus memperkukuh kawalan bagi mengekang kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan negara.

"AKPS komited membanteras kemasukan barangan tidak sah bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Ringkasan AI

  • Cubaan membawa masuk hasilan ikan, pertanian dan haiwan bernilai lebih RM1 juta tanpa mematuhi peraturan kuarantin dibongkar di Pelabuhan Klang Barat
  • Tiga kontena mengandungi barangan yang tidak mematuhi Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dikesan
  • Operasi pertama melibatkan rampasan daging babi sejuk beku dari Belgium dengan nilai RM486,658.17
  • Operasi kedua melibatkan rampasan hasilan pertanian jenis cat litter dari China dengan nilai RM46,414.38
  • Operasi ketiga melibatkan rampasan hasilan ikan jenis pangasius fillet dari Vietnam dengan nilai RM490,726.29

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!