Trend salah guna pas lawatan sosial meningkat - Saifuddin

Saifuddin Nasution (dua dari kiri) semasa melawat tapak projek Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah di Jalan Langgar, Alor Setar pada Sabtu.
Saifuddin Nasution (dua dari kiri) semasa melawat tapak projek Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah di Jalan Langgar, Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan mendedahkan trend kesalahan melibatkan salah guna pas lawatan sosial oleh warga asing di negara ini menunjukkan sedikit peningkatan walaupun tidak ketara dalam tempoh dua tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu berkenaan telah dibincangkan dalam dua mesyuarat Jemaah Menteri terakhir dan Kabinet bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi menyelaras tindakan lanjut.

Menurutnya, Malaysia mengalu-alukan kedatangan pelancong namun mereka mesti menghormati dan mematuhi undang-undang negara ini.

“Negara kita terbuka menerima pelawat dari seluruh dunia untuk bekerja, melancong atau berniaga. Namun setiap individu mesti mempunyai pasport dan pas yang sah.

“Jika masuk menggunakan pas sosial, mereka tidak dibenarkan bekerja atau berniaga. Hal ini juga diamalkan di negara lain,” katanya selepas melawat tapak projek Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Jalan Langgar di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan penubuhan pasukan petugas khas bagi menangani isu salah guna pas lawatan sosial serta lambakan barangan di pasaran.

Pasukan itu akan melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Saifuddin Nasution berkata, KDN terlibat sebagai agensi penguatkuasaan melalui Jabatan Imigresen dan Agensi Kawalan Sempadan (AKPS).

Menurutnya, hasil penguatkuasaan operasi yang dilakukan sebelum ini mendapati pelbagai kes termasuk masuk tanpa dokumen, salah guna pas dan tinggal lebih masa.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberi contoh kes pelancong yang masuk ke negara ini dan mengambil tempahan perabot atau hiasan dalaman, kemudian kembali ke negara asal untuk menyiapkan tempahan sebelum datang semula menawarkan harga lebih murah.

“Perkara ini memberi kesan kepada peniaga tempatan. Oleh itu, hala tuju ke hadapan ialah tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

"Sekiranya tangkapan dibuat, akta sedia ada akan digunakan sepenuhnya dan proses undang-undang akan dilaksanakan,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Trend kesalahan melibatkan salah guna pas lawatan sosial oleh warga asing di Malaysia menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua tahun lalu
  • Kabinet Malaysia bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyelaras tindakan lanjut terhadap isu salah guna pas lawatan sosial
  • Malaysia mengharapkan pelancong mematuhi undang-undang negara, khususnya larangan bekerja atau berniaga dengan menggunakan pas sosial
  • Pasukan petugas khas yang ditubuhkan melibatkan beberapa kementerian untuk menangani isu salah guna pas lawatan sosial serta masalah lain
  • Operasi penguatkuasaan sebelum ini mendapati pelbagai kes salah guna pas, termasuk masuk tanpa dokumen dan tinggal lebih masa, serta kesan negatif kepada peniaga tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!