PM tegur sistem pendidikan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Oktober di Puspanitapuri hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Oktober di Puspanitapuri hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sistem pendidikan negara yang disifatkannnya perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada pencapaian akademik tetapi juga kepada pembentukan nilai moral dan kemanusiaan yang seimbang.

Berucap di Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau berkata, warisan pendidikan negara terlalu terikat dengan pola pemikiran barat yang menekankan material dan penguasaan modal semata-mata tanpa menilai dimensi moral dalam pembangunan manusia.

“Kita mewarisi satu sistem pendidikan dan pemahaman ekonomi terikat dengan pola pemikiran para ekonomi barat,” katanya pada Isnin.

Menurutnya, jika pemikiran barat dijadikan rujukan, ia mesti difahami secara menyeluruh dan tidak boleh diambil secara selektif kerana akan menimbulkan ketempangan dalam kefahaman generasi baharu.

“Kalau pun nak ambil di bvarat, ambil keseluruhannya. Kalau dicedok hanya yang dominan pemikirannya iaitu kapitalisme sebagai ideologi, maka kefahaman anak-anak kita akan terpengaruh,” katanya.

Anwar menjelaskan, kelemahan paling ketara dalam sistem pendidikan kini ialah kecenderungan memberi tumpuan kepada pencapaian akademik semata-mata tanpa memberi ruang kepada pembentukan nilai dan prinsip moral.

"Pendidikan hanya berasaskan pengetahuan. Bukan nilai, bukan prinsip moral dan etika. Jadi ada kelemahan,” katanya.

Beliau berkata, apabila pendidikan tidak menekankan nilai, masyarakat akhirnya berdepan pelbagai masalah sosial termasuk isu buli yang semakin membimbangkan di sekolah.

“Ini baru saya umum (Belanjawan 2026) hari Jumaat, umum pasal buli memang... keputusan dah dibuat. Menteri dah sebut. Rogol lagi kat sekolah... Itu saya tekankan masalah buli,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, gejala seperti itu menunjukkan pendidikan belum berjaya membina manusia yang memahami makna nilai, empati dan tanggungjawab terhadap sesama insan.

Anwar menegaskan bahawa pembangunan insan harus bermula daripada sistem pendidikan yang menyeimbangkan ilmu dan nilai moral agar melahirkan generasi yang bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi juga berakhlak dan berjiwa adil.

“Pembangunan ini haruslah pertama memacu pertumbuhan, tetapi konsep untuk apa? Untuk pembangunan manusia seutuhnya,” katanya.

Beliau menambah, keseimbangan ini juga menuntut sistem pendidikan yang berpaksikan nilai Islam seperti keadilan, ihsan dan kepedulian terhadap golongan miskin agar murid memahami tujuan sebenar ilmu dan kemajuan.

“Apalagi kita sebagai orang Islam fahaman tentang syur zakat, adil dan ihsan, kehebatan khulafa ar rasyidin atau kekuatan istimewa Umar Abdul Aziz itu kerana keprihatinan dia,” katanya.

Anwar menjelaskan, nilai dan moral mesti dijadikan asas kepada setiap dasar pendidikan agar pelajar tidak sekadar mengejar kejayaan akademik, tetapi membina kekuatan akhlak dan empati terhadap masyarakat.

“Bangunan manusia seutuhnya ditetapkan juga oleh nilai. Bukan materialisme, bukan modal, tapi nilai,” katanya.

 

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sistem pendidikan Malaysia perlu fokus kepada nilai moral dan kemanusiaan
  • Sistem pendidikan terlalu terikat pada pemikiran barat yang menekankan material dan kapitalisme
  • Anwar menekankan kelemahan sistem pendidikan yang berfokus pada pencapaian akademik semata-mata
  • Beliau mengungkapkan kegusaran terhadap isu sosial seperti buli di sekolah yang menunjukkan kegagalan pendidikan membina nilai dan empati
  • Anwar menyeru keperluan pendidikan yang seimbang antara ilmu dan nilai moral, berpaksikan nilai Islam bagi membina generasi berakhlak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!