Jamal Yunos berjaya lelong selipar, tuala RM66,000

SUNGAI BESAR - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa berjaya melelong sebelah selipar dan tuala miliknya dengan nilai keseluruhan RM66,000 bagi melunaskan baki kos penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Jamal berkata, lelongan itu diadakan susulan tindakan mahkamah terhadapnya berhubung tuntutan berkenaan. Namun, lelongan mahkamah yang dijadualkan terhadap barangan lain miliknya berjaya ditangguhkan selepas seorang anaknya memperoleh perintah penangguhan pada saat akhir.
"Sepatutnya hari ini ada lelongan mahkamah atas tuntutan RM66,000, tetapi semalam anak saya berjaya mendapatkan penangguhan," katanya menerusi video di Facebook pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dua pembida tampil membida barangan berkenaan, masing-masing dari Negeri Sembilan dan Sabah.
Katanya, selipar itu dibida pada harga RM33,000 manakala tuala turut menerima bidaan, menjadikan jumlah keseluruhan RM66,000.
Beliau mendakwa, pembida selipar berhasrat membingkaikan barangan itu sebelum dihantar ke pejabat Teresa dalam masa terdekat dan urusan bayaran dijangka diselesaikan pada Rabu.
Jamal turut mendakwa, tindakan melelong barangan peribadinya itu sebagai usaha mendapatkan kembali maruahnya susulan perintah mahkamah yang dikuatkuasakan sehingga membawa kepada tindakan penguatkuasaan di kediamannya sebelum ini.
Dalam masa sama, beliau secara sinis mencadangkan wang berkenaan digunakan Teresa untuk memulakan projek ternakan babi secara kecil-kecilan di rumah.
Pada 28 Januari lalu, Teresa bertindak menyerahkan notis sitaan serta memecahkan tombol dan kunci pintu dapur kediaman Jamal di Ampang sebelum menukarnya dengan yang baharu.
Sebelum ini, Teresa memperoleh perintah Mahkamah Tinggi untuk menyita harta alih milik Jamal bagi mendapatkan jumlah penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 sebagai kos yang belum dibayar.
Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Teresa selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.
Ringkasan AI
- Jamal Md Yunos mengaku berjaya melelong sebelah selipar dan tuala miliknya dengan total RM66,000
- Lelongan diadakan untuk melunaskan kos penghakiman tertunggak kepada Teresa Kok
- Anak Jamal memperoleh penangguhan lelongan mahkamah yang dijadualkan
- Dua pembida dari Negeri Sembilan dan Sabah membida untuk selipar dan tuala tersebut
- Jamal mencadangkan wang dari lelongan digunakan Teresa untuk projek ternakan babi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

