PRN Sabah: UMNO Bahagian Sipitang boikot calon PKR di DUN Sindumin

KOTA KINABALU - UMNO Bahagian Sipitang tidak akan memberi sebarang kerjasama kepada calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.
Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abd Rahman Mohd Noh berkata, keputusan secara sebulat suara itu diambil selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa UMNO Bahagian Sipitang bagi membincangkan perkembangan terkini berkaitan pengumuman senarai calon UMNO Sabah pada 9 November lalu.
"UMNO Bahagian Sipitang menzahirkan rasa dukacita apabila Barisan Nasional (BN) DUN Sindumin tidak diberikan ruang untuk meletakkan calon daripada UMNO-BN.
"Tetapi bagi DUN Lumadan, UMNO Sabah telah mengumumkan calon Datuk Mohd Nazri Abdullah bagi mewakili parti BN," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, susulan situasi tersebut, UMNO Bahagian Sipitang memberi sokongan penuh dan akan menggerakkan jentera pilihan raya untuk fokus membantu calon UMNO di Lumadan.
"Bagaimanapun, UMNO Bahagian Sipitang tidak akan memberi sebarang kerjasama kepada parti PKR-PH di DUN Sindumin selaras dalam Perlembagaan UMNO Perkara 20.11 dan 20.13 yang tidak membenarkan untuk membantu calon yang pernah khianat dan dipecat daripada parti UMNO.
"Seluruh Bilik Gerakan di 17 Pusat Daerah Mengundi bagi kawasan DUN Sindumin ditutup serta-merta," katanya.
Sehubungan itu, Abd Rahman berkata, jentera BN di kawasan berkenaan tidak dibenarkan sama sekali digunakan oleh mana-mana parti lain bagi tujuan kempen atau aktiviti politik.
"Keputusan ini dibuat bagi memastikan perjuangan dan maruah UMNO di kawasan Sipitang terus dipertahankan, selaras dengan semangat solidariti parti," katanya.
Ahad lalu, Datuk Yamani Hafez yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah yang kini Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman diumumkan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon di DUN Sindumin bagi mewakili PH dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ringkasan AI
- UMNO Bahagian Sipitang tidak akan memberi sebarang kerjasama kepada calon PKR di DUN Sindumin
- Keputusan ini dibuat selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa UMNO Bahagian Sipitang
- UMNO Bahagian Sipitang kecewa kerana BN tidak diberi ruang untuk meletakkan calon di DUN Sindumin tetapi akan membantu calon UMNO di Lumadan
- UMNO Bahagian Sipitang akan menutup Bilik Gerakan di DUN Sindumin dan tidak mengizinkan jentera BN digunakan untuk kempen PKR-PH
- Keputusan ini dibuat untuk mempertahankan maruah dan perjuangan UMNO Sipitang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
