Penahanan Orang Asli: Beri ruang polis siasat

Laporan Sinar Harian berhubung penahanan 21 Orang Asli bagi membantu siasatan pencerobohan tanah milik Sultan Pahang di Kampung Jemeri. 
Laporan Sinar Harian berhubung penahanan 21 Orang Asli bagi membantu siasatan pencerobohan tanah milik Sultan Pahang di Kampung Jemeri. 
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menggesa semua pihak untuk memberi ruang kepada polis melakukan siasatan berhubung penahanan 21 Orang Asli yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan tanah di Kampung Orang Asli Jemeri, Rompin, Pahang pada Isnin lepas.

Dalam kenyataan pada Rabu, Jakoa memaklumkan jabatan itu menghargai kerjasama polis membebaskan 17 individu dan menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan. 

"Kami menggesa semua pihak memberi ruang serta masa kepada polis untuk melaksanakan siasatan secara adil, telus dan berlandaskan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Jakoa memaklumkan telah berhubung dengan polis bagi pelepasan semua individu terlibat sejak kes bermula selain untuk mendapatkan perkembangan dan memastikan kebajikan serta keadaan mereka terlibat.

Jabatan itu juga memaklumkan kekal komited memainkan peranan sebagai agensi yang menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli. 

"Ini termasuk memantau perkembangan kes, memberi sokongan sewajarnya serta memastikan kebajikan komuniti terus diberi perhatian selaras dengan peruntukan undang-undang dan prinsip keadilan sosial,” menurut kenyataan itu. 

Semalam, polis mengesahkan penahanan 21 Orang Asli bagi membantu siasatan pencerobohan tanah milik Sultan Pahang di Kampung Jemeri pada Isnin lepas. 

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mereka termasuk 17 wanita berusia antara 26 hingga 60 tahun ditahan susulan laporan daripada pihak yang mendakwa dilantik mengusahakan tanah itu. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Jakoa menggesa publik memberi ruang kepada polis untuk siasatan insiden penahanan 21 Orang Asli di Kampung Jemeri, Rompin
  • Jakoa menghargai kerjasama polis yang telah membebaskan 17 individu dan menghormati proses siasatan
  • Jakoa telah berhubung dengan polis bagi pelepasan semua individu terlibat dan memastikan kebajikan mereka
  • Jabatan ini komited memainkan peranan menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli termasuk memantau perkembangan kes
  • 21 Orang Asli ditahan untuk membantu siasatan pencerobohan tanah milik Sultan Pahang, termasuk 17 wanita berusia antara 26 hingga 60 tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!