ECRL: Perjalanan Gombak-Kota Bharu sekitar empat jam

KOTA BHARU – Perjalanan menaiki Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Terminal Bersepadu Gombak ke Kota Bharu memberikan pengalaman berbeza apabila penumpang dapat menikmati perjalanan lancar, suasana tren yang selesa serta pemandangan menarik sepanjang laluan.
Wartawan Sinar Harian berpeluang merasai sendiri pengalaman itu menerusi program 'Familiarisation Trip' (FAM Trip) Jelajah Landasan ECRL pada Khamis dengan kelajuan tren mencecah 160 kilometer sejam.
Antara perkara yang ketara sepanjang perjalanan ialah keadaan dalam tren yang nyaman dengan penghawa dingin berfungsi baik, selain pergerakan tren yang stabil tanpa gegaran ketara walaupun bergerak pada kelajuan tinggi.
Keselesaan penumpang turut diberi perhatian menerusi kerusi ergonomik yang menyokong kedudukan badan untuk duduk dalam tempoh perjalanan sekitar empat jam dan turut mempunyai ruang kaki yang luas serta kemudahan soket untuk mengecas telefon juga disediakan, manakala kerusi juga boleh dipusingkan sehingga 360 darjah mengikut kesesuaian penumpang.
Pengalaman menaiki tren itu turut dilengkapi layanan baik pramugari yang bertugas, selain kemudahan tandas yang dilengkapi paip air dan kelengkapan lain dalam keadaan baik.
Sepanjang perjalanan, penumpang juga berpeluang menikmati pemandangan sawah padi, kawasan pergunungan dan perkampungan yang menghiasi laluan menuju ke Pantai Timur.
Perjalanan dari Gombak itu berakhir dengan ketibaan di Kota Bharu kira-kira jam 11 pagi selepas mengambil masa sekitar empat jam.
Pengamal media, Norsyafawati Ab Wahab, 38, yang berasal dari Pantai Timur berkata, kewujudan perkhidmatan ECRL memberikan pengalaman baharu kepada penduduk di wilayah berkenaan yang sebelum ini menantikan kemudahan pengangkutan rel seumpama itu.
“Seronok, 'servis' yang bagus. Saya sebagai penduduk Pantai Timur memang gembira akhirnya ada juga perkhidmatan seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Bagi seorang lagi pengamal media, K Vishvani, 27, perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu memberikan pengalaman lebih baik daripada jangkaannya, terutama dari segi kemudahan dan tempoh perjalanan.
Vishvani berkata, sebelum ini beliau menganggap perjalanan ke Kelantan mengambil masa panjang, terutama ketika musim perayaan berikutan kesesakan jalan raya.
“Pengalaman menaiki ECRL baik kerana kemudahan disediakan bersih dan selesa. Perjalanan juga lancar dan kami tiba dalam kira-kira empat jam berbanding lima hingga enam jam jika menaiki kereta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
