'Jangan bila dah letak jawatan, jadi macam orang gila talak' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ditemui media sempena Sesi Libat Urus bersama JPKK Melaka 2026 di Ayer Molek pada Khamis. Foto : Sinar Harian
Ahmad Zahid ditemui media sempena Sesi Libat Urus bersama JPKK Melaka 2026 di Ayer Molek pada Khamis. Foto : Sinar Harian
A
A
A

MELAKA - Tidak timbul isu menteri Barisan Nasional (BN) tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan meskipun parti itu berbeza haluan dengan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbezaan pendirian parti-parti di peringkat negeri adalah hak masing-masing, khususnya ketika menghadapi pilihan raya.

"Memang betul di peringkat negeri sama ada di Johor, Negeri Sembilan atau Melaka, kita tidak sehaluan.

"Ini hak setiap parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan untuk menentukan haluan masing-masing di peringkat negeri, terutama dalam PRN yang sedang berlangsung di Melaka ini dan tidak timbul isu kita tidak menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar di peringkat Persekutuan," katanya.

Beliau ditemui pada Sesi Libat Urus bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Melaka 2026 di Ayer Molek di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya tidak sehaluan dengan kepimpinan kerajaan sedia ada.

Pada Khamis, Gobind mencabar Ahmad Zahid supaya meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada, berbanding mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.

Gobind menyifatkan kenyataan Pengerusi BN itu sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada individu yang memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sepanjang mesyuarat Jemaah Menteri, tidak pernah berlaku menteri daripada BN tidak bersetuju dengan dasar Kerajaan Perpaduan atau berbeza pendapat dengan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Ini semua menteri-menteri menyaksikan. Jadi, kalau beliau rasa apa yang dinyatakan itu patut dibuat, buatlah sebagaimana yang dilakukan oleh Setiausaha Agung partinya.

"Jadi janganlah pula bila dah letak jawatan, seperti orang gila talak pula. Kita tidak mahu gila talak macam mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyifatkan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka sebagai satu keserasian yang baik dan berharap ia mampu diterjemahkan kepada sokongan pengundi, termasuk masyarakat bukan Melayu.

"Saya harap ia dapat menyatukan minda dan sokongan kedua-dua parti yang berseteru lebih daripada lima dekad.

"Kita telah mencuba di Negeri Sembilan dan ini kali kedua di Melaka. Kita harap insya-ALLAH dapat menterjemahkan kerjasama ini sebaik-baiknya dalam bentuk sokongan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!