Maritim Malaysia selamatkan pelajar pengsan di feri roro

LANGKAWI – Kecekapan dan tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menyelamatkan seorang pelajar lelaki yang pengsan akibat demam panas ketika berada di atas feri roro dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis pada pagi Khamis.
Mangsa, Musa Mohd Zakri, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Pegang, dilaporkan tidak sedarkan diri kira-kira jam 9.50 pagi ketika mengikuti rombongan sekolah berkenaan.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, guru pengiring, Mohd Anas Mohd Saman dan Ahmad Kamal Sulaiman, segera menghubungi pihak Maritim Malaysia selepas mendapati pelajar tersebut tidak memberi sebarang maklum balas.
“Susulan panggilan kecemasan, Bot PETIR 81 telah diatur gerak ke lokasi feri bagi melaksanakan misi pemindahan perubatan (MEDEVAC).
“Walaupun cuaca ketika itu tidak mengizinkan, dengan ribut petir di beberapa kawasan, pasukan kami tetap melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bot PETIR 81 berjaya mengambil mangsa dari feri pada jam 10.40 pagi dan membawanya ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan pada jam 10.46 pagi.
Ambulans tiba 10 minit kemudian dan membawa pelajar tersebut ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut.
“Setiap nyawa di laut amat berharga. Walaupun keadaan laut bergelora, anggota operasi tetap tenang dan cekap dalam memastikan mangsa mendapat rawatan segera,” ujarnya.
Romli turut menasihatkan pengusaha feri dan penumpang agar sentiasa mengambil berat aspek kesihatan dan keselamatan sebelum memulakan perjalanan, khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Sekiranya berasa tidak sihat, elakkan perjalanan jauh di laut. Patuhi nasihat keselamatan dan maklumkan segera kepada kru atau agensi keselamatan maritim sekiranya berlaku kecemasan,” tambah beliau.
Ringkasan AI
- Kecekapan Maritim Malaysia menyelamatkan pelajar pengsan dalam feri roro dari Langkawi ke Kuala Perlis
- Mangsa, Musa Mohd Zakri, 17 tahun, tidak sedar diri semasa dalam perjalanan rombongan sekolah
- Guru pengiring hubungi Maritim Malaysia untuk bantuan
- Bot PETIR 81 melaksanakan misi pemindahan perubatan walaupun cuaca buruk
- Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut setelah diselamatkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

