Sultan Selangor tidak berkenan ternakan babi di mana-mana daerah

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini kerana dikhuatiri menimbulkan pencemaran alam sekitar dan keresahan masyarakat.

Pejabat Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor dalam kenyataannya memaklumkan Sultan Sharafuddin bertitah bahawa penternakan babi berisiko menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk selain mencemarkan sungai susulan pelepasan najis dan sisa kumbahan sekali gus menjejaskan sumber air bersih.

“Sebagai contohnya, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar, daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan penempatan orang Melayu dan kawasan Felda, pastinya menerima bantahan penduduk di kawasan tersebut dan persekitarannya.

“Di samping itu, ia boleh mengakibatkan pencemaran kawasan tadahan air serta sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Kenyataan itu memaklumkan isu penternakan ladang babi turut dibincangkan ketika Perdana Menteri menghadap Sultan Selangor pada Ahad lalu sebelum pendirian tersebut ditegaskan dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Kenyataan itu menjelaskan Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan meskipun kaedah penternakan moden mampu mengurangkan pencemaran.

“Baginda menegaskan kos pelaksanaannya amat tinggi dan tiada jaminan sepenuhnya bahawa ia tidak menjejaskan sumber air, khususnya di kawasan tadahan air Lembah Klang.

“Selain itu, baginda berpandangan penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan kekangan tanah serta nilai hartanah yang tinggi, yang wajar dimanfaatkan untuk tujuan lebih ekonomik dan memberi faedah kepada masyarakat,” tambahnya.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut memaklumkan Sultan Sharafuddin turut menyarankan kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi menampung keperluan orang bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor sebagai penyelesaian jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

“Kaedah ini bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang berlarutan, malah membolehkan penggunaan tanah negeri dioptimumkan untuk pembangunan dan penempatan.

“Baginda menegaskan isu penternakan babi perlu dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menjejaskan keamanan serta keharmonian masyarakat, selain menyeru semua pihak menghormati titah baginda demi memelihara perpaduan di negeri ini,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri pada Isnin menegaskan penternakan babi tidak wajar diteruskan sekiranya dibangunkan di kawasan yang mencetuskan kegelisahan serta bantahan penduduk setempat.

Anwar berkata kerajaan tidak menghalang penternakan babi, sebaliknya isu tersebut perlu ditangani secara rasional dengan mengambil kira aspek kesihatan, kebersihan dan keharmonian komuniti.

Ringkasan AI

  • Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi kerana pencemaran alam sekitar dan keresahan masyarakat
  • Penternakan babi berisiko pencemaran udara dan sungai yang menjejaskan sumber air bersih
  • Isu tersebut telah dibincangkan bersama Perdana Menteri sebelum ditegaskan dalam ucapan Perdana Menteri
  • Sultan mencadangkan pemberian lesen pengimportan daging babi sebagai penyelesaian jangka panjang
  • Penternakan babi dilihat tidak sesuai dilaksanakan di Selangor demi memelihara perpaduan dan memanfaatkan tanah untuk pembangunan ekonomik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!