'Mak nak pakai baju putih, tak sangka tanda perpisahan selamanya' - luah anak hilang ibu di hari pernikahan

AMPANG - Hasrat seorang ibu untuk mengenakan baju putih menjadi kenangan paling meruntun jiwa buat pengantin baharu, Nurul Hazwani Alias, 26, apabila permintaan itu akhirnya menjadi 'tanda' perpisahan selama-lamanya pada hari pernikahannya.
Nurul Hazwani berkata, ibunya, Jewayah Tajally, 70, yang menghidap kanser pankreas dan telah merebak ke paru-paru pernah menyatakan tidak mahu mengenakan busana mengikut tema pernikahannya, sebaliknya hanya menyebut satu permintaan ringkas iaitu mahu memakai baju putih.
Menurutnya, majlis perkahwinan asalnya dirancang berlangsung pada Disember ini dan segala persiapan termasuk tempahan dewan serta katering sudah dibuat, namun keputusan menyegerakan akad nikah dibuat selepas menyedari tahap kesihatan ibunya semakin merosot.
“Saya sudah belikan baju hijau mengikut tema majlis untuk mak dan adik-beradik saya. Namun mak kata dia tak mahu baju apa-apa. Mak cuma cakap, mak nak pakai baju putih,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.
Jelasnya, pada ketika itu dia tidak pernah menyangka kata-kata ibunya membawa maksud yang jauh lebih mendalam.

Seminggu sebelum pernikahan, ibunya dimasukkan ke hospital dalam keadaan sangat lemah dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen selepas kanser pankreas yang dihidapinya merebak ke paru-paru.
Pada pagi Ahad iaitu hari pernikahannya, ibunya menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur.
Akad nikah Nurul Hazwani dengan suaminya, Mohd Sharul Azman, 28, berlangsung pada jam 9 pagi di Surau Al-Firdaus, Ampang, manakala van jenazah arwah ibunya tiba kira-kira jam 10 pagi.
“Ketika saya bernikah, jasad mak ada di hadapan saya. Saya percaya roh mak ada bersama, melihat saya dinikahkan. Saya yakin mak gembira kerana dapat menantu terakhir yang akan menjaga anaknya,” ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik.
Menurutnya, ibunya tidak meninggalkan sebarang pesan khusus berkaitan perkahwinan, sebaliknya hanya menasihatkan supaya menjadi isteri yang baik dan taat kepada suami.

Mengulas sokongan suami dalam menghadapi kehilangan besar itu, Nurul Hazwani berkata, Mohd Sharul menjadi kekuatan utamanya, lebih-lebih lagi selepas dia kehilangan kedua-dua ibu bapa.
Selepas kisah pernikahan dan pemergian ibunya tular di media sosial, Nurul Hazwani berkata, keluarganya menerima ribuan doa dan sokongan daripada orang ramai.
“Saya dan keluarga mengucapkan terima kasih. Semoga pahala doa-doa itu sampai kepada arwah mak. Ini semua saham akhirat buat dia. Saya sendiri tidak tahu amalan apa yang mak lakukan semasa hidup sehingga begitu ramai mendoakan,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Hasrat ibu Nurul Hazwani untuk mengenakan baju putih pada hari pernikahannya menjadi 'tanda' perpisahan abadi
- Ibu Nurul Hazwani menghidap kanser pankreas yang merebak ke paru-paru
- Majlis perkahwinan dipercepatkan akibat merosotnya tahap kesihatan ibunya
- Ibu Nurul Hazwani meninggal pada pagi hari pernikahannya
- Nurul Hazwani dan suaminya menerima sokongan dan doa dari masyarakat selepas kisah mereka tular di media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

