Apabila kenderaan lama jadi beban sosial

Kenderaan yang terbiar dan usang menimbulkan risiko keselamatan, pencemaran alam sekitar serta gangguan kepada komuniti setempat, khususnya di kawasan perumahan. Gambar Bernama
Kenderaan yang terbiar dan usang menimbulkan risiko keselamatan, pencemaran alam sekitar serta gangguan kepada komuniti setempat, khususnya di kawasan perumahan. Gambar Bernama
A
A
A

TERDAPAT 19.69 juta jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia sehingga 31 Disember 2025. Dari jumlah tu, 20.7 peratus atau 4.07 juta unit kenderaan didapati tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor aktif selama 3 tahun atau lebih.

Jumlah kenderaan tiada cukai jalan ini bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan satu isu sosial, ekonomi dan perbandaran yang semakin meruncing.

Kenderaan tidak aktif ini berpotensi menjadi kenderaan terbiar dan usang yang menimbulkan risiko keselamatan, pencemaran alam sekitar serta gangguan kepada komuniti setempat, khususnya di kawasan perumahan.

Ketika melancarkan Majlis Pelancaran Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama di Putrajaya pada 27 Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan masih ramai rakyat menggunakan kenderaan berusia lebih 20 tahun.

Menurut beliau, kenderaan lama lazimnya kurang selamat, lebih kerap rosak, tidak cekap bahan api dan tidak lagi memenuhi piawaian keselamatan semasa.

Sehubungan itu, jelas Anthony, geran padanan tersebut merupakan satu inisiatif bersasar yang diperkenalkan bagi menggalakkan pelupusan kenderaan uzur secara tersusun dan bertanggungjawab.

Pada hari ini, lihatlah kenderaan lama banyak diletakkan parkir awam, di bahu jalan kawasan perumahan.

Di kawasan kediaman bertingkat pula, kereta lama dibiarkan usang di petak parkir sehingga bertahun-tahun sekali gus mengehadkan ruang parkir penghuni lain.

Dalam konteks ini, pengumuman kerajaan jelas memberi kelegaan kepada pemilik kenderaan lama yang memang merancang untuk menukar kepada kenderaan baharu.

Artikel Berkaitan:

Pengguna boleh mendapat rebat sekali gus 'duit muka' untuk membeli kereta baharu.

Namun, kekurangan dasar ini juga perlu diberi perhatian. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mahu membuat hutang baharu, khususnya golongan pesara dan warga emas?.

Tidak semua individu berada pada fasa kehidupan ini mahu menanggung komitmen kewangan jangka panjang tujuh hingga sembilan tahun. Timbul persoalan juga sama ada syarikat kewangan bersedia meluluskan pinjaman kenderaan kepada golongan ini, yang mungkin dianggap berisiko dari sudut bayaran balik.

Sehubungan itu, satu cadangan yang wajar dipertimbangkan ialah menawarkan bayaran pelupusan yang berbaloi kepada rakyat untuk melupuskan kenderaan lama mereka kepada kerajaan tanpa syarat wajib membeli kenderaan baharu.

Masyarakat pula perlu bersikap lebih terbuka kenderaan rosak dan tersadai lama lebih baik dijual sebagai barang lusuh daripada disimpan hingga usang.

Majlis Bandaraya Shah Alam sejak bulan lalu telah memulakan tindakan menunda kenderaan terbiar dengan memberi tumpuan kepada kenderaan yang ditinggalkan di petak parkir awam.

Datuk Bandar Shah Alam Mohd Fauzi Mohd Yatim menegaskan, tindakan ini menyasarkan kenderaan yang tidak dialihkan selepas notis diberikan bagi mengatasi masalah kekurangan parkir dan imej bandar.

Kesimpulannya, Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama merupakan langkah positif ke arah keselamatan jalan raya dan persekitaran yang lebih teratur.

Namun, keberkesanannya akan lebih menyeluruh sekiranya dasar ini dilengkapkan dengan pilihan alternatif yang mengambil kira keupayaan dan realiti ekonomi semua lapisan masyarakat. Dasar yang baik bukan sekadar menggalakkan perubahan, tetapi memastikan penyelesaian yang adil dan seimbang untuk semua.

*Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!