Bahana influenza bertukar jadi beban ribuan ringgit

Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai keluhan orang ramai berhubung kos rawatan influenza yang didakwa agak membebankan.
Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai keluhan orang ramai berhubung kos rawatan influenza yang didakwa agak membebankan.
A
A
A

GELOMBANG baharu kluster influenza menjadikan sebahagian besar rakyat khususnya keluarga besar menyuarakan rasa cemas di media sosial.

Jika seseorang dijangkiti, tidak mustahil seluruh ahli keluarga dalam rumah turut mudah untuk dijangkiti.

Di Sungai Petani, seramai 22 daripada 302 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok disahkan positif influenza manakala di MRSM Kuantan, sejumlah 114 pelajar MRSM Kuantan dijangkiti penyakit sama.

MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas pula memberi pelepasan pulang pelajar Tingkatan 1 hingga 4 sekolah berkenaan pulang bermula Rabu sehingga 26 Oktober depan.

Keputusan itu dibuat bagi memutuskan rantaian jangkitan influenza dalam kalangan warganya.

Di Kota Bharu, Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan berlaku peningkatan kes influenza dengan lima kluster dilaporkan melibatkan institusi pendidikan khususnya di sekolah berasrama.

Rentetan penularan kes influenza, sebilangan besar pengguna media sosial menyuarakan rasa beban dan tertekan dengan kos rawatan dan ujian saringan penyakit berkenaan yang dikatakan boleh mencecah hingga RM300 seorang di klinik-klinik swasta.

Bayangkan jumlah yang perlu ditanggung jika empat ahli keluarga terpaksa menjalani rawatan serentak, maka ribuan ringgit melayang hanya untuk menampung perubatan penyakit yang mudah merebak ini.

Selain itu, terdapat juga laporan mengatakan bekalan ubat influenza turut mengalami sedikit gangguan di beberapa lokasi luar bandar.

Artikel Berkaitan:

Realitinya, tidak semua rakyat memiliki perlindungan insurans kesihatan pesakit luar.

Golongan B40 dan M40 yang sedia terbeban dengan kos sara hidup, kini semakin tertekan apabila demam biasa bertukar menjadi beban kewangan yang menghakis simpanan.

Kerajaan wajar segera mencari jalan untuk membantu sama ada melalui subsidi khas saringan influenza, bantuan perubatan sementara di klinik kesihatan atau peluasan skim perlindungan kesihatan mampu milik yang turut meliputi rawatan pesakit luar.

Influenza bukan lagi penyakit bermusim semata-mata, tetapi ancaman kesihatan awam yang menjejaskan kesejahteraan keluarga.

Ketika rakyat bergelut menjaga kesihatan dan kewangan, suara mereka perlu didengar. Jangan biar mereka menanggung derita seorang diri.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!