Pasukan khas pantau masjid, rumah ibadat

Mohd Khaizam (kiri) ketika sidang media menjelaskan mengenai perkembangan sepanjang tempoh PKP di sekitar kawasan Kuala Kangsar.
Mohd Khaizam (kiri) ketika sidang media menjelaskan mengenai perkembangan sepanjang tempoh PKP di sekitar kawasan Kuala Kangsar.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput menubuhkan pasukan khas memantau rumah ibadat termasuk masjid dan surau di daerah berkenaan bagi memastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pasukan yang ditubuhkan pada 17 Mac lalu dan masih meneruskan pemantauan di sekitar kawasan Sungai Siput.

Menurutnya, hanya tiga individu sahaja iaitu imam, bilal dan siak dibenarkan menunaikan solat di masjid atau surau pada setiap waktu solat.

"Pemantauan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Tadbir Agama Daerah Kuala Kangsar. Setakat ini mereka mematuhi arahan," katanya kepada pemberita ketika sidang media berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di IPD Sungai Sungai Siput, di sini, hari ini.

Mohd Khaizam juga memberitahu, pihak masjid dan surau di sekitar daerah berkenaan turut membantu polis dengan membenarkan sistem siaraya mereka digunakan untuk membuat hebahan.

Selain itu katanya,sebanyak 11 kertas siasatan dan 17 tangkapan dibuat bagi kes ingkar arahan PKP.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga, empat sekatan jalan raya di semua laluan di laluan keluar masuk ke daerah Sungai Siput dilakukan termasuk menutup semua laluan tikus bagi mengehadkan pergerakan penduduk.

"Pihak polis juga mengambil tindakan mengarahkan mana-mana kenderaan yang tidak mempunyai alasan munasabah untuk berpatah balik bagi memastikan tiada pergerakan yang tidak dibenarkan berlaku. Antara alasan tidak munasabah ialah melawat saudara, pergi ke mesin ATM pada waktu malam dan rindu ayah.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pihak polis juga telah membuat pemeriksaan mengejut sebagai langkah pemantauan terhadap pematuhan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Mohd Khaizam berkata, mana-mana individu perseorangan, badan-badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, perkara itu penting dalam usaha mengurangkan kontak dengan masyarakat selain memastikan penjarakkan sosial dipatuhi.