[VIDEO] NGO tuntut penjelasan Fadhlina isu subjek Sejarah diajar, dijawab dalam bahasa Mandarin

A
A
A

PUTRAJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menuntut penjelasan rasmi daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung dakwaan wujud persetujuan membenarkan subjek Sejarah diajar serta dijawab dalam bahasa Mandarin dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali berkata, dakwaan itu timbul susulan pertemuan antara pertubuhan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dengan Fadhlina baru-baru ini yang didakwa membincangkan perkara berkenaan.

“Perkara ini dibincang lagi antara Dong Zong dengan menteri supaya Sejarah yang SPM punya 'paper' ini dibelajar Mandarin dan dikatakan menteri setuju,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum bantahan pengiktirafan UEC kepada Fadhlina di sini, pada Jumaat.

Syed Hasan (kanan) menyerahkan memorandum kepada Mohd Azam yang mewakili Fadhlina di lobi KPM, pada Jumaat.
Syed Hasan (kanan) menyerahkan memorandum kepada Mohd Azam yang mewakili Fadhlina di lobi KPM, pada Jumaat.

Fadhlina diwakili Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Menurut Syed Hasan, dakwaan berkenaan perlu dijelaskan segera kerana melibatkan dasar pendidikan negara serta kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tegasnya lagi, sekiranya perkara itu tidak benar, Menteri Pendidikan perlu tampil membuat penafian secara terbuka bagi mengelakkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Kalau tidak betul, menteri kena nafikan. Kalau tak nafikan maknanya memang betullah sejarah dalam bahasa Mandarin untuk SPM. Ini saya tahu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, subjek Sejarah merupakan mata pelajaran teras yang memainkan peranan penting dalam pembinaan identiti nasional dan kefahaman terhadap sejarah negara, justeru sebarang perubahan dasar berkaitan bahasa pengantar perlu dibuat secara telus serta melalui saluran rasmi.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan seharusnya berpegang kepada dasar pendidikan kebangsaan yang telah lama diguna pakai dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik.

Beliau turut mendakwa, isu tersebut bukan sahaja terhenti di peringkat kementerian, malah didakwa akan dibawa ke peringkat lebih tinggi apabila wakil Dong Zong dikatakan akan dipertemukan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dasar negara dibuat begitu lama, Kementerian Pendidikan dan dasar pendidikan negara tak boleh terima perkara seperti ini. Ini bukan soal politik semata-mata, ini soal masa depan pendidikan dan sejarah negara," jelas Syed Hasan.

Pada 19 Januari lalu, Anwar mengumumkan langkah untuk mewajibkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.

Keputusan itu dibuat supaya kontroversi berkaitan isu bahasa Melayu akan dapat dileraikan, sekali gus hal berkaitan syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA) juga tidak lagi berbangkit selepas ini.

Ringkasan AI

  • NGO Melayu menuntut penjelasan dari Menteri Pendidikan berhubung dakwaan persetujuan membenarkan subjek Sejarah dijawab dalam Mandarin di SPM Dakwaan timbul susulan pertemuan antara Dong Zong dan Menteri Pendidikan Syed Hasan Syed Ali mendesak penjelasan segera kerana isu itu melibatkan dasar pendidikan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Menteri Pendidikan diminta untuk membuat penafian terbuka sekiranya dakwaan tersebut tidak benar Syed Hasan berpendapat sebarang perubahan dasar bahasa pengantar untuk subjek teras seperti Sejarah harus dibuat secara telus dan melalui saluran rasmi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!