Laluan kemasukan ke IPTA bagi pelajar pelbagai aliran termasuk tahfiz, UEC akan diperjelas

PUTRAJAYA - Kerajaan akan memperjelas syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lulusan aliran yang tidak berteraskan sistem pendidikan nasional dalam masa terdekat.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneliti perkara berkenaan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, arahan itu susulan maklum balas orang ramai yang mahu laluan kemasukan ke IPTA diperjelas, khususnya bagi pelajar maahad tahfiz dan pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
"Ini akan disusuli dengan kenyataan daripada pihak KPM dan KPT.
"Insya-ALLAH, pada minggu depan, kedua-dua kementerian akan mengadakan taklimat bersama rakan-rakan media bagi memberikan maklumat yang lebih terperinci,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.
Fahmi berkata, Perdana Menteri turut mengarahkan KPM bersama Kementerian Kerja Raya meneliti persiapan infrastruktur bagi menangani jangkaan pertambahan jumlah murid di sekolah susulan keputusan membenarkan murid memulakan prasekolah pada usia lima tahun dan Tahun Satu pada usia enam tahun.
Beliau berkata, persiapan itu merangkumi pembinaan bilik darjah baharu serta penambahan guru.
"Guru-guru juga perlu disediakan melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) sekiranya terdapat penambahan pelajar.
"Selain itu, terdapat permintaan daripada institusi seperti tahfiz yang memerlukan guru, khususnya bagi peringkat Tingkatan Satu ke atas, sebagai persediaan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Pada Selasa lepas, Perdana Menteri melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang diterajui bersama oleh KPT melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dan KPM menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
Antara inti pati rancangan itu ialah mulai 2027, prasekolah ditetapkan bermula pada umur lima tahun dan Tahun Satu pada umur enam tahun, bergantung kepada kesediaan ibu bapa dan murid.
Selain itu, pengukuran pembelajaran baharu yang ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan akan diperkenalkan bagi murid Tahun Empat mulai 2026 dan pelajar Tingkatan Tiga mulai 2027.
Bagi memperkasakan jati diri, pelajar di semua sekolah termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Persendirian diwajibkan mempelajari Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan akan memperjelas syarat kemasukan ke IPTA bagi pelajar lulusan aliran bukan pendidikan nasional
- Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi meneliti persoalan kemasukan ke IPTA
- Arahan Perdana Menteri susulan maklum balas masyarakat yang mahu laluan kemasukan ke IPTA diperjelas
- KPM dan KPT akan mengeluarkan kenyataan dan mengadakan taklimat media untuk maklumat terperinci
- KPM dan Kementerian Kerja Raya akan meneliti persiapan infrastruktur untuk jumlah murid yang bertambah akibat perubahan umur prasekolah dan Tahun Satu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
