Indonesia bebaskan 30,000 banduan, isytihar darurat kesihatan awam

Kebanyakan kerajaan tempatan melaksanakan langkah kuarantin sendiri untuk mengelakkan penularan Covid-19 di Purworejo, Jawa Tengah. - Foto AFP
Kebanyakan kerajaan tempatan melaksanakan langkah kuarantin sendiri untuk mengelakkan penularan Covid-19 di Purworejo, Jawa Tengah. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Indonesia akan membebaskan kira-kira 30,000 banduan untuk mencegah penyebaran jangkitan koronavirus (Covid-19) di penjara yang sesak.

Dokumen dikeluarkan Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia menetapkan parol itu diberikan kepada banduan dewasa yang telah menjalani dua pertiga hukuman manakala kanak-kanak mendapat hak itu jika sudah menghabiskan separuh daripada hukuman mereka.

Data rasmi menunjukkan terdapat 270,386 banduan di seluruh negara melebihi dua kali ganda kapasiti penjara.

Beberapa pihak melihat kekurangan sanitasi di pusat tahanan terbabit menyebabkan tahanan lebih mudah terdedah kepada penyebaran penyakit.

Hari ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi turut mengisytiharkan darurat kesihatan awam selepas kes jangkitan Covid-19 meningkat di negara tersebut yang mempunyai populasi 264 juta penduduk.

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan memaklumkan 114 kes jangkitan baharu dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 1,528 kes dan angka kematian kini mencecah 136 kes.

Terdahulu, Menteri Luar memaklumkan Indonesia mengenakan larangan sementara terhadap kemasukan warga asing dan mereka yang melakukan transit di negara itu.

“Presiden melihat dasar sedia ada perlu dilaksanakan lebih tegas. Oleh itu, kami memutuskan warga asing tidak dibenarkan memasuki negara ini,” kata Retno Marsudi selepas mesyuarat bersama Jokowi.

Artikel Berkaitan:

Langkah tegas itu bagaimanapun memberi pengecualian terhadap mereka yang mempunyai permit kerja termasuk diplomat, namun mereka akan tetap menjalani protokol kesihatan yang ditetapkan.

“Secara praktikal, kesemua negara kini meletakkan had terhadap kemasukan warga asing bergantung kepada situasi di setiap negara,” ujarnya.

Terdahulu, Jokowi memaklumkan Indonesia telah mengambil langkah mengehadkan pergerakan rakyat, namun ancaman itu sebenarnya adalah dari mereka yang datang dari luar negara.

Jokowi turut menegaskan kawalan pergerakan perlu dilaksanakan selepas ribuan penghijrah di Jakarta yang menjadi pusat wabak itu dan kawasan sekitarnya yang dilaporkan telah kembali ke kampung halaman masing-masing kerana dikhuatiri akan menyebarkan virus tersebut ke wilayah lain.

Menurutnya, sebanyak 876 bas membawa pulang kira-kira 14,000 penghijrah di Jakarta ke wilayah Jawa Barat, Jawa Tengah, Yogyakarta dan Jawa Timur serta ribuan yang lain kembali ke kampung dengan menaiki kereta api dan kapal.

Difahamkan, pentadbiran Jokowi juga bersedia untuk meletakkan Jakarta dan lokasi zon merah lain yang mencatatkan angka jangkitan tertinggi sebagai ‘kawasan kuarantin’ untuk mengelakkan pergerakan keluar dan masuk berikutan lebih 140,000 dikhuatiri terkorban akibat Covid-19 menjelang Mei depan jika tiada langkah tegas diambil. - Agensi