Sanggup tukar tempat mengundi demi YB Helmy

Kim Choo (kanan) menunjukkan penukaran alamat demi mengundi YB Helmy (kiri) untuk PRN Melaka dijadualkan berlangsung tahun ini.
Kim Choo (kanan) menunjukkan penukaran alamat demi mengundi YB Helmy (kiri) untuk PRN Melaka dijadualkan berlangsung tahun ini.
A
A
A

MELAKA – Seorang penyokong tegar Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem atau lebih mesra disapa YB Helmy, sanggup menukar tempat mengundi sebagai tanda sokongan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu untuk terus berbakti kepada rakyat.

Ibu kepada dua anak, Lee Kim Choo, 54, berkata, dia telah mengikuti rapat perkembangan YB Helmy sejak sekian lama menerusi platform media sosial dan tertarik dengan pendekatan wakil rakyat berkenaan yang sentiasa turun padang serta mendekati masyarakat tanpa mengira bangsa dan kaum.

“Saya sokong YB Helmy kerana beliau membantu semua orang tanpa mengira latar belakang.

“Saya suka caranya. Kalau semua YB di Malaysia boleh jadi seperti beliau, sudah tentu negara akan menjadi lebih baik,” katanya ketika Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini pada Selasa.

Kerani itu memaklumkan, hasrat untuk menukar tempat mengundi telah lama disimpan namun sebelum ini tidak mengetahui prosedur yang betul.

“Bulan lepas ada yang mengajar cara-cara menukar tempat mengundi dan hari ini saya hadir untuk menyelesaikan urusan tersebut.

“Saya rasa lega dapat berbuat demikian dan berharap ia dapat memberi suntikan semangat kepada YB Helmy untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy ketika ditemui menyifatkan sokongan tersebut sebagai satu penghargaan yang amat bermakna buat dirinya.

“Saya terharu dan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan banyak pihak membantu termasuk sokongan agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, melalui Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong yang dilaksanakan tahun lalu, seramai 50 individu direkodkan menukar alamat kediaman ke kawasan tersebut di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka yang dibuka semasa program berkenaan.

Ujarnya, angka tersebut berkemungkinan telah bertambah ketika ini.

Ditanya mengenai kemungkinan pengundi akan kecewa sekiranya beliau tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun ini, beliau berkata perkara itu merupakan urusan parti.

“Sama ada saya akan bertanding atau tidak, itu adalah keputusan parti,” katanya ringkas.

 

Ringkasan AI

  • Penyokong tegar YB Helmy menukar tempat mengundi sebagai tanda sokongan
  • Lee Kim Choo tertarik dengan pendekatan YB Helmy yang mendekati semua lapisan masyarakat
  • Lee menyatakan kekagumannya terhadap YB Helmy untuk membantu semua orang tanpa mengira latar belakang
  • Proses untuk menukar tempat mengundi dilakukan bulan lepas setelah mendapat bimbingan cara-cara yang betul
  • Mohd Noor Helmy menganggap sokongan tersebut sebagai penghargaan bermakna dan menyifatkan dirinya hanya menjalankan tanggungjawab

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!