Selangor FC kesal insiden bakar suar, kutuk salah laku penyokong

Selangor FC menegaskan tidak akan berkompromi serta mengutuk sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan orang awam.
Selangor FC menegaskan tidak akan berkompromi serta mengutuk sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan orang awam.
A
A
A

KELAB Bolasepak Selangor (Selangor FC) menyatakan rasa amat kesal terhadap insiden membakar suar membabitkan segelintir penyokong pasukan itu di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, Terengganu, sebelum perlawanan Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC, Ahad lalu.

Dalam kenyataan pada Selasa, kelab itu menegaskan tidak akan berkompromi serta mengutuk sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan orang awam.

Menurut Selangor FC, perbuatan sedemikian jelas bercanggah dengan nilai serta prinsip yang diperjuangkan kelab berkenaan dan komuniti bola sepak Selangor.

"Selangor FC akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana kumpulan penyokong bagi menjamin keselamatan serta memperkasakan kemeriahan sukan bola sepak tempatan,” menurut kenyataan itu.

Kelab berkenaan turut berharap insiden terbabit dijadikan iktibar oleh semua pihak dan menyeru penyokong agar sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab, saling menghormati serta bersatu padu demi memupuk budaya sokongan bola sepak yang lebih positif dan sihat.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Penaung Selangor FC menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap insiden itu serta tidak berkenan dengan budaya samseng dan gangsterisme dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Baginda turut mencadangkan supaya penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan diharamkan daripada memasuki stadium bagi menghadiri mana-mana perlawanan melibatkan pasukan itu.

Semalam, seramai 33 penyokong Selangor FC direman bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di jambatan berkenaan, Ahad lepas.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super antara Terengganu FC dan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mereka adalah antara kira-kira 400 penyokong yang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu malam tadi bagi menjalani saringan air kencing. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kelab Bolasepak Selangor menyatakan rasa kesal terhadap insiden membakar suar oleh penyokong di Kuala Terengganu
  • Kelab tersebut mengecam tingkah laku melanggar undang-undang dan mengutamakan keselamatan orang awam
  • Selangor FC berkomitmen untuk kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dan mahu berbincang dengan penyokong untuk keselamatan
  • Minta insiden tersebut dijadikan iktibar dan menyeru penyokong berperilaku bertanggungjawab
  • Sultan Selangor berduka dan mencadangkan hukuman larangan masuk stadium untuk penyokong yang menimbulkan kekacauan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!