Jangan jadi 'geng plastik hitam' atau subahat

MENJELANG ketibaan Ramadan, masyarakat sekali lagi diingatkan agar tidak mengulangi episod yang sering mencemarkan kesucian bulan mulia itu iaitu kewujudan 'geng plastik hitam'.
Istilah tersebut merujuk kepada segelintir individu Islam yang tidak berpuasa pada siang hari, namun tetap membeli makanan secara sembunyi dengan membungkusnya menggunakan plastik hitam bagi mengelakkan perbuatan mereka disedari orang ramai.
Tindakan terbabit kononnya bertujuan mengelakkan perhatian umum, namun hakikatnya tetap mencerminkan sikap tidak menghormati kewajipan berpuasa.
'Geng plastik hitam' lazimnya muncul seawal hari-hari pertama Ramadan, khususnya di kawasan gerai makanan, restoran dan premis tertentu yang menjual hidangan siap.
Walaupun ada kalanya plastik yang digunakan berwarna lain seperti putih, merah dan sebagainya, kaki ponteng puasa tetap dirujuk dengan gelaran tersebut kerana sifat simboliknya sebagai perbuatan menyembunyikan aktiviti tidak berpuasa.
Bilangan mereka mungkin kecil, namun kesannya besar kerana perbuatan itu boleh mengundang persepsi negatif terhadap kesungguhan umat Islam dalam memelihara kesucian Ramadan.
Dalam hal ini, nasihat dan peringatan yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim wajar diberi perhatian serius.
Beliau menegaskan bahawa perbuatan bersubahat dengan geng plastik hitam, termasuk menjual makanan kepada individu Islam yang sengaja tidak berpuasa, adalah berdosa dan bertentangan dengan tuntutan agama.
Peringatan tersebut seharusnya membuka mata peniaga Muslim agar lebih bertanggungjawab dalam mencari rezeki sepanjang Ramadan, sekali gus tidak menjual makanan kepada mereka yang sengaja tidak berpuasa.
Berniaga pada bulan Ramadan sepatutnya menjadi medan menambah pahala, bukan membuka ruang kepada kemungkaran serta menambah dosa dengan bersubahat dalam perbuatan yang dilarang agama.
Pada masa yang sama, pembeli juga perlu bermuhasabah diri dan menghormati kesucian Ramadan.
Bagi mereka yang mempunyai keuzuran yang dibenarkan syarak, adab perlu dijaga dengan tidak makan atau membeli makanan secara terbuka sehingga menimbulkan salah faham serta kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
Semoga tiada lagi kisah 'geng plastik hitam' mencorakkan Ramadan tahun ini, apatah lagi bulan mulia ini hanya hadir setahun sekali dan peluang untuk meraih keberkatan amat terhad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

