AS sekali lagi zahir terima kasih layanan baik terhadap Trump

Pertemuan Anwar bersama Scott Bessent ketika Mesyuarat APEC di Gyeongju, Republik Korea pada Jumaat. - Foto: Izzuddin Abd Radzak
Pertemuan Anwar bersama Scott Bessent ketika Mesyuarat APEC di Gyeongju, Republik Korea pada Jumaat. - Foto: Izzuddin Abd Radzak
A
A
A

SHAH ALAM – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent, sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas layanan baik yang diberikan kepada Presiden Donald Trump dan delegasinya sewaktu berada di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ucapan berkenaan disampaikan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Bessent semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Gyeongju, Republik Korea, pada Jumaat.

"Saya sekali lagi sampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden Trump atas kunjungan yang mencerminkan iltizam tinggi kepimpinan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.

"Saya menghargai peranan serta sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama ekonomi global di samping usaha memperluas jaringan pelaburan, perdagangan dan keamanan yang inklusif berasaskan dialog, keadilan serta saling memahami," katanya.

Anwar berkata, pertemuan berkenaan secara tidak langsung meneruskan momentum hubungan erat yang telah terjalin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan memberi ruang kepada mereka untuk membincangkan pelbagai aspek hubungan perdagangan serta kewangan antara Malaysia dan AS.

"Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh pertalian ekonomi dua hala, termasuk komitmen bersama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia dalam memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan, kestabilan pasaran kewangan serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.

"Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat atas landasan prinsip keterbukaan, keadilan dan hormat-menghormati demi menjamin kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau serta sejagat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent, mengucapkan penghargaan kepada Malaysia untuk layanan baik kepada Presiden Donald Trump dan delegasi di Kuala Lumpur
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang dengan Scott Bessent semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC di Korea
  • Perbincangan menekankan iltizam tinggi AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif dengan Malaysia
  • Pertemuan tersebut melanjutkan momentum hubungan erat antara Malaysia dan AS yang terjalin di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
  • Pertemuan itu membahas usaha memperkukuh pertalian ekonomi, termasuk dasar matwang, kestabilan pasaran kewangan, dan tadbir urus yang berintegriti antara Malaysia dan AS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!