342 penduduk Gaza maut dalam pelbagai pelanggaran Israel sejak gencatan senjata

ISTANBUL - Tentera Israel melakukan 497 pelanggaran terhadap gencatan senjata di Semenanjung Gaza sejak ia berkuat kuasa, mengakibatkan 342 orang maut dan 875 yang lain cedera, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Sabtu.
Pejabat media itu menuduh Israel secara sistematik menjejaskan perjanjian berkenaan melalui serangan maut dan pencerobohan berulang.
Menurut pejabat itu, sebanyak 27 pelanggaran direkodkan pada Sabtu, menyebabkan 24 kematian dan 87 kecederaan. Ia menyifatkan corak tindakan itu sebagai "pelanggaran terang-terangan” terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta protokol kemanusiaan yang dilampirkan pada perjanjian gencatan senjata.
Pelanggaran Israel sejak 10 Oktober termasuk 142 insiden tembakan yang menyasarkan orang awam, rumah dan khemah pelarian; 21 pencerobohan darat melangkaui "garisan kuning”; 228 serangan udara, artileri dan darat; serta 100 insiden perobohan rumah dan struktur awam, yang disifatkannya sebagai "hukuman kolektif” dan usaha untuk meluaskan kemusnahan.
Pejabat media itu berkata, 35 penduduk Palestin turut ditahan dalam serbuan dan pencerobohan, sambil menuduh Israel cuba "mewujudkan realiti baharu yang berdarah serta mengancam keselamatan dan kestabilan di Semenanjung Gaza.”
Pasukan Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza sebelum ini memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin terbunuh pada Sabtu dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah dan sebuah kenderaan di beberapa kawasan Gaza, dalam pelanggaran baharu terhadap gencatan senjata.
Israel terus menduduki lebih 50 peratus kawasan Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata, dengan "garisan kuning” memisahkan kawasan penempatan tentera Israel daripada kawasan didiami oleh rakyat Palestin.
Tentera Israel baru-baru ini meningkatkan semula serangan di sebelah timur garisan kuning, memusnahkan kawasan yang luas dan menjadikan kawasan sekitar semakin berbahaya kepada orang awam.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 170,800 individu serta menjadikan wilayah itu hampir keseluruhannya musnah. Serangan itu terhenti di bawah perjanjian gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. - Bernama
Ringkasan AI
- Tentera Israel melakukan 497 pelanggaran terhadap gencatan senjata di Semenanjung Gaza
- Pelanggaran tersebut mengakibatkan 342 orang maut dan 875 yang lain cedera
- Sebanyak 27 pelanggaran direkodkan pada satu hari, menyebabkan 24 kematian dan 87 kecederaan
- Israel terus menduduki lebih 50 peratus kawasan Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata
- Sejak Oktober 2023, serangan tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 penduduk Gaza dan mencederakan lebih 170,800 individu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
