Balu Tun Daim fail larangan bersuara terhadap Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin akan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini untuk mendapatkan perintah larangan bersuara terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Toh Puan Na'imah Abdul Khalid berkata demikian ketika sebutan kes gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang.
Katanya, larangan bersuara atau ‘gag order’ dibuat susulan kenyataan didakwa dikeluarkan Ahli Parlimen Tambun itu dalam 17 artikel pada Januari 2024 hingga Julai 2025, yang bersifat sub judis terhadap Na'imah, 69 dan keluarganya.
“Kami mohon mahkamah mengeluarkan arahan supaya Anwar berhenti daripada membuat kenyataan yang memprejudiskan hak anak guam kerana kes berkenaan masih di peringkat sebutan kes.
“Antara perkataan yang digunakan dalam laporan media itu ialah ‘sakau’ dan ‘mencuri berbilion ringgit’ yang jelas merujuk kepada arwah Tun Daim dan Na'imah,” kata peguam.
Menurutnya, ulasan tersebut turut dikhuatiri akan menimbulkan campur tangan kuasa eksekutif memandangkan kenyataan itu, bukan dibuat orang biasa sebaliknya melibatkan seorang perdana menteri.
Beliau berkata, pembelaan mahu mendapatkan perbicaraan yang adil namun serangan seumpama ini hanya menimbulkan kegusaran, was-was dan ketakutan sekiranya anak guam diadili di mata orang awam terlebih dahulu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, pendakwaan tidak menerima sebarang permohonan larangan bersuara daripada pihak pembelaan sebelum ini.
“Pagi ini kami diberikan senarai 17 artikel itu, namun tiada sebarang kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri sama ada mempersoalkan atau membuat komen berhubung kes yang masih berlangsung di mahkamah.
“Ulasan yang dinyatakan dalam bentuk umum bukan bermaksud untuk mempersoalkan perbicaraan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, tiada bukti kukuh untuk mengatakan bahawa komen yang dibuat telah menyebabkan perbicaraan yang tidak adil berlaku terhadap tertuduh.
Menurutnya, ini kerana perbicaraan kes yang dihadapi tertuduh, belum bermula malah pihak pembelaan dan pihak pendakwaan juga belum mengemukakan sebarang bukti kepada mahkamah.
Justeru katanya, dakwaan peguam tertuduh bahawa akan berlaku ketidakadilan di pihak pendakwaan, hanyalah bersifat andaian.
Beliau meminta mahkamah menolak permohonan tersebut sekiranya berpendapat tiada sebarang asas dalam perkara tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya mahkamah berpendapat perkara ini wajar didengar, pendakwaan berharap pembelaan membuat permohonan berkenaan secara rasmi.
Selepas mendengar permohonan tersebut, Hakim, Azura Alwi berkata, mahkamah tidak akan membuat keputusan berhubung perkara tersebut.
"Saya faham hujahan ini berhubung permohonan lisan tetapi pihak pembelaan sepatutnya ada budi bicara untuk memaklumkan kepada pendakwaan terlebih dahulu.
“Sekiranya pembelaan mahu mendapatkan perintah ‘gag order’, ia perlu dibuat secara rasmi,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan untuk pengurusan kes tersebut.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Rajesh berkata, pembelaan akan mendapatkan arahan lanjut daripada Na'imah sama ada mahu meneruskan permohonan larangan bersuara secara formal atau sebaliknya.
Pada 23 Januari 2024, Na'imah mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember 2023.
Pada 29 Januari pula, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Bagaimanapun, pada 20 November tahun sama, bekas veteran UMNO itu dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, mereka tidak berniat untuk meneruskan kes kerana Daim meninggal dunia pada usia 86, 13 November 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

