Tun Daim dilepas, dibebaskan tuduhan gagal isytihar harta
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu daripada satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan lebih 70 harta dan satu bank akaun, Disember tahun lalu.
Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, mereka tidak berniat untuk meneruskan kes kerana Daim, 86, meninggal dunia pada 13 November lalu.
Azura berkata, perintah dibuat mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) iaitu kuasa pada pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan kes pada mana-mana peringkat.
“Saya perintahkan tertuduh, arwah Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan, mahkamah juga mengucapkan takziah kepada keluarga. Semoga arwah ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan prosiding selepas pemergian tokoh korporat itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya telah menerima surat daripada firma Raj & Sach yang mewakili Daim bahawa mereka membantah sekiranya prosiding ini dihentikan.
“Ini kerana, kuasa untuk meneruskan atau menghentikan kes terletak pada pihak pendakwaan.
“Apabila ada pertuduhan, perlu ada jasad atau individu yang dituduh, namun dalam kes ini tertuduh telah meninggal dunia,” katanya.
Susulan itu, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada, Daim diberi perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atau dilepaskan dan dibebaskan (DNA).
Sementara itu, peguam Daim, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berkata, anak guam mahu membersihkan nama sehingga hari terakhirnya.
"Ketika dia terbaring sakit di atas katil, dia mahu membersihkan imej daripada tuduhan tidak berasas, maka pendirian kami ialah meneruskan perbicaraan.
“Pertuduhan itu tidak boleh dibiarkan tergantung di bahu anak guamnya dan dia perlu diberi pembebasan penuh.
"Daim seorang yang terkenal, mempunyai kerjaya yang cukup lama dalam kerajaan ketika itu jadi kes itu tidak boleh dibiarkan tergantung,” kata peguam itu.
Mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura berkata, tiba satu tahap di mana kes ini akan tamat pada akhir kes pendakwaan.
“Jika mahkamah mendapati tertuduh perlu hadir untuk membela diri, siapa yang akan menjawab pertuduhan itu?” kata hakim itu.
Menjawab persoalan itu, Wan Shaharuddin berkata, pendakwaan memahami niat ahli keluarga tertuduh mahu membersihkan nama Tun Daim, tetapi inilah dinamakan takdir.
“Apabila ada pertuduhan, maka perlu ada tubuh, perlu ada pihak yang dituduh,” katanya.
Dalam prosiding sama, Azura juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik permohonannya di bawah Seksyen 342 KTJ yang memohon Daim dikenakan penilaian mental.
Pada 27 Ogos lalu, pihak pendakwaan memohon agar Daim menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya.
Pendakwaan menghujahkan, permohonan dibuat kerana tertuduh sering memohon dikecualikan kehadiran pada prosiding mahkamah.Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Harta itu membabitkan aset antaranya akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/ tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!