Dua kontena daging babi Belgium dirampas

PELABUHAN KLANG - Dua kontena mengandungi daging babi bernilai RM873,000 dari Belgium dirampas menerusi pemeriksaan dijalankan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Pelabuhan Barat di sini pada Selasa.
Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan itu dibuat susulan ketidakpatuhan terhadap syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan khususnya melibatkan fasiliti yang tidak diluluskan.
"Dalam bulan ini sahaja, jumlah rampasan berkaitan daging babi di Pelabuhan Klang mencecah kira-kira RM2 juta.
"AKPS bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan produk makanan yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Barat di sini pada Rabu.
Katanya, bagi isu kesihatan awam termasuk ancaman virus seperti Nipah, pemantauan rapi dijalankan terhadap produk berisiko tinggi dan negara asal tertentu.
"Pegawai kesihatan turut ditempatkan di terminal bagi memantau kemasukan barangan dan memastikan tiada risiko kepada keselamatan awam.
"Setakat ini, tiada ancaman lain dikesan dan pemantauan akan diteruskan sehingga menerima arahan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan AKPS mematahkan cubaan membawa masuk dagangan daging babi beku tanpa permit dan kepatuhan sah, dianggarkan bernilai lebih RM1.15 juta.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kejayaan itu dilakukan menerusi dua pemeriksaan berasingan ke atas tiga kontena di Gudang CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, 22 Januari dan 14 Januari lalu.
Katanya, operasi penguatkuasaan ini membabitkan dagangan yang diimport dari negara Sepanyol dan Belgium dengan jumlah berat keseluruhan mencecah 76,973 kilogram (kg).
Ringkasan AI
- Dua kontena mengandungi daging babi dari Belgium dirampas di Pelabuhan Klang
- Rampasan berada pada nilai RM873,000
- Ketidakpatuhan terhadap syarat fasiliti yang tidak diluluskan menjadi penyebab rampasan
- Total rampasan daging babi di Pelabuhan Klang pada bulan ini mencecah RM2 juta
- Pemantauan rapi terhadap produk berisiko tinggi untuk keselamatan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

