Rundingan rahsia AS-Iran

WASHINGTON – Butiran rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi mengelakkan perang terbuka terus mencetuskan tanda tanya apabila kedua-dua pihak yang bertelagah itu enggan mendedahkan perinciannya.
Presiden Donald Trump berkata, beliau tidak akan berkongsi pelan berkenaan meskipun dengan sekutu rapat Washington di rantau Asia Barat.
“Ia boleh menjejaskan prospek penyelesaian damai tersebut. Teheran sudah pun bersetuju untuk berunding secara serius mengikut rancangan asal.
“Kita akan lihat apa yang akan berlaku seterusnya,” ujarnya merujuk kepada rundingan secara rahsia yang turut disahkan Iran pada akhir minggu lalu.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, butiran pelbagai proses diplomatik bagi menangani ketegangan dengan AS sedang dikaji oleh Teheran.
“Negara Teluk telah menjadi perantara dalam proses damai tersebut. Pelbagai perkara telah dibincangkan dan kami sedang meneliti proses diplomatik yang diharapkan akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa hari lagi. Ia berkaitan dengan proses dan kerangka rundingan,” ujarnya.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi turut menyatakan bahawa AS perlu merebut peluang untuk mencapai kesepakatan yang adil bersama Teheran.
“Saya yakin kita boleh menjalin persefahaman mengenai program nuklear Iran. Sebarang tindakan ketenteraan bakal membawa bencana dahsyat ke seluruh rantau Asia Barat,” tegasnya.
Sejak minggu lalu, armada diketuai kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln dilaporkan berada dalam keadaan siap siaga di perairan Asia Barat, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Teluk. – Agensi
Ringkasan AI
- Rundingan antara AS dan Iran dilakukan secara rahsia untuk mengelakkan perang terbuka
- Presiden Donald Trump tidak akan berkongsi butiran rundingan dengan sekutu rapat
- Iran bersetuju berunding secara serius mengikut rancangan asal
- Negara Teluk menjadi perantara dalam proses damai antara AS dan Iran
- Menteri Luar Iran menekankan pentingnya mencari kesepakatan adil untuk mengelakkan bencana di rantau Asia Barat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

