10 Presiden Amerika paling teruk dalam sejarah

SEBAHAGIAN besar Presiden Amerika Syarikat (AS) telah menggunakan pentadbiran mereka untuk kebaikan negara dan rakyat.
Mereka tidak menyalahgunakan kuasa malah menyalurkan bantuan kepada sekutu ketika krisis global dan menetapkan standard kepimpinan supaya disegani komuniti antarabangsa. Tetapi, terdapat juga kajian sejarah yang menunjukkan 'kegagalan' Presiden untuk mentadbir negara hingga diperlekehkan banyak pihak. Berikut ialah senarai 10 Presiden AS dengan prestasi terburuk sepanjang tempoh 240 tahun lalu.
------
1. James Buchanan (1857-1861)
Presiden ke-15 AS ini dikenali sebagai pemimpin hipokrit. Beliau mengutuk perhambaan, namun pada masa sama menyokong perjanjian yang membenarkan amalan itu di bahagian barat. Tindak balas Buchanan terhadap krisis pemisahan yang membawa kepada Perang Saudara tidak membantu reputasinya. Beliau juga gagal bertindak ketika situasi kian meruncing pada waktu tersebut.
2. Andrew Johnson (1865-1869)

Presiden ke-17 AS ini digelar sebagai pemimpin paling teruk dalam sejarah AS dan yang pertama berdepan prosiding pemecatan. Johnson menolak dasar Pembinaan Semula yang membantu hamba baru dibebaskan. Beliau juga memberi pengampunan kepada bekas tentera Konfederasi dan didakwa melanggar Akta Tempoh Jawatan 1864 yang mencetuskan langkah penyingkirannya pada 1868.
3. Franklin Pierce (1853-1857)

Pentadbiran Presiden ke-14 AS ini dianggap sebagai pencetus Perang Saudara. Pemimpin Demokrat ini didakwa tidak berpengalaman dalam politik malah melantik kroni untuk membarisi Kabinet pimpinannya. Pierce menandatangani Akta Kansas-Nebraska 1854 yang memansuhkan Kompromi 1820. Akta itu membawa kepada perang negeri yang digelar sebagai 'Kansas Berdarah' dan kemudiannya merebak menjadi Perang Saudara.
4. William Henry Harrison (Mac-April 1841)

Beliau memegang jawatan paling singkat dalam sejarah. Harrison merupakan bekas tentera dan Gabenor Wilayah Indiana sebelum dilantik sebagai Presiden Kesembilan AS. Beliau pernah memulakan perjanjian bersama beberapa puak Orang Asli Amerika yang kemudiannya menyebabkan komuniti itu menjadi pelarian. Tiada dokumentasi yang memperincikan pentadbiran beliau kerana tempoh memegang jawatan terlalu pendek.
5. Millard Fillmore (1850-1853)

Beliau dilantik sebagai Presiden ke-13 AS setelah pendahulunya, Zachary Taylor meninggal dunia. Bekas Naib Presiden itu menyokong Kompromi 1850 dan Akta Hamba Pelarian. Fillmore dipuji atas usaha beliau menghalang Perang Saudara bermula, namun gagal bertindak balas terhadap isu yang menyebabkan konflik tersebut.
6. John Tyler (1841-1845)

Tyler merupakan penyokong amalan perhambaan, berasal daripada golongan bangsawan penanam (ladang) di Selatan.
Pentadbiran Presiden ke-10 ini dihimpit pelbagai drama politik dan berpecah belah, namun pencapaian terbesarnya adalah dengan memperkenalkan Akta Tarif 1842 yang bertujuan melindungi industri dan pembuatan Utara.
7. Donald Trump (2017-2021, 2025-hingga kini)

Presiden ke-45 dan ke-47 ini melakukan lebih banyak kemudaratan berbanding pencapaian yang boleh dibanggakan. Sejak penggal pertama di Rumah Putih, pentadbiran beliau sudah caca marba malah menghasut pemberontakan di Capitol ketika peralihan kuasa pada Januari 2021. Trump yang terkenal sebagai 'Presiden pusingan U' kembali membuat kekacauan pada penggal kedua dengan melancarkan perang tarif dan meneruskan agenda yang mengarut serta cuba meraih publisiti sebagai 'pendamai global'.
8. Warren G Harding (1921-1923)

Pemimpin ini secara terbuka mengakui tidak layak untuk memegang jawatan tertinggi itu. Presiden ke-29 AS ini turut dihimpit pelbagai skandal dan salah laku. Harding dilihat sebagai seorang pemimpin yang tiada wawasan dan tidak tegas untuk membuat sebarang keputusan. Beliau sering mengelak isu yang dikemukakan anggota Kabinetnya.
9. Herbert Hoover (1929-1933)

Beliau memegang jawatan pada permulaan era Kemelesetan Besar. Pentadbiran Presiden ke-31 AS ini menyaksikan ekonomi menjunam teruk dan mencetuskan konflik perdagangan. Hoover juga menolak bantuan tanpa syarat kepada golongan yang menderita walaupun telah mengurangkan cukai dan melancarkan inisiatif untuk meningkatkan peluang pekerjaan.
10. Zachary Taylor (1849-1850)

Presiden ke-12 AS ini merupakan pemimpin paling dilupakan dalam sejarah walaupun pernah dihormati ketika menjadi jeneral semasa Perang 1812 dan Perang Amerika-Mexico. Beliau hanya mentadbir selama setahun dan dalam tempoh singkat itu, Taylor mengasingkan komuniti Utara kerana memiliki kira-kira 100 hamba yang bekerja di ladang kapas kepunyaannya di Missisippi. Beliau mahu memperluaskan amalan perhambaan dan menentang Kompromi 1850.
SUMBER: www.thenewdealer.org
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat digunakan pentadbiran mereka untuk kebaikan negara namun ada yang gagal secara teruk
- James Buchanan dianggap hipokrit kerana menyokong amalan perhambaan sambil mengecamnya
- Andrew Johnson dihadapkan prosiding pemecatan kerana menolak dasar Pembinaan Semula dan memberi pengampunan kepada bekas tentera Konfederasi
- Franklin Pierce dianggap sebagai pencetus Perang Saudara kerana tindakannya yang tidak berpengalaman dan keputusan politiknya yang merosak
- Donald Trump dilihat melakukan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan semasa penggal pertama dan kedua sebagai Presiden
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

